Mengapa berubah?

June 13, 2009

Sama ada mahu atau tidak, perubahan akan sentiasa berlaku kepada seseorang manusia atau kehidupannya dari semasa ke semasa tidak kira ianya dibentuk seperti dikehendaki atau berlaku secara semulajadi. Banyak sebab seseorang itu boleh berubah.

Ibarat besi yang dipanaskan dengan api, ia menjadi cair. Daripada besi cair itu ia dibentuk menjadi pelbagai bentuk yang dikehendaki. Begitu juga dengan manusia. Jika manusia itu boleh diibaratkan sebagai besi, maka apinya ialah input dan pengalaman hidupnya. Daripada pengalaman itu, manusia boleh berubah dari sudut tanggapan, cara berfikir, membuat keputusan, sifat dan caranya. Jika perubahan itu membawa kesan yang positif, apa salahnya.

Apa yang penting akidah yang benar tidak boleh diubah kepada akidah yang salah kerana itu adalah perkara pokok dalam kehidupan manusia. Yang lain-lain adalah mengikut kesesuaian dan kebijaksanaan seseorang mengolahnya asalkan tidak keterlaluan.

Usahlah dikesali atau ditakuti atau dihairankan jika berlaku  sebarang perubahan terhadap diri anda sendiri atau rakan-rakan anda atau sesiapa sahaja yang anda kenali ataupun tidak kerana perubahan adalah fitrah kehidupan. Apa yang penting adalah benefit daripada perubahan itu sendiri.

“If you don’t like something, try to change it. If you can’t change it, change the way you think about it.” (Sebab tu kena berubah walau macamanapun).

“Adakalanya kamu menyukai sesuatu tetapi ia tidak baik untuk kamu. Adakalanya kamu tidak sukakan sesuatu tetapi ada kebaikannya untuk kamu.” (Mungkin kena berubah, mungkin juga tidak, fikirkan saja apa hikmatnya).


Ditenung Malaikat Maut

June 4, 2009

Tahukah anda bahawa apabila anda memandu ketika sedang penat, mengantuk atau tak stabil, sebenarnya pemanduan anda sedang dipantau oleh malaikat Izrail?

Itulah yang aku alami malam semalam ketika menjemput  anak pulang dari kursus. Hari semalam memang agak memenatkan. Seawal jam 8 hingga tengahari aku bersama pelajar-pelajarku di kelas. Kemudian terus  memulakan perjalanan ke Seremban, ditemani oleh anak perempuanku  yang baru habis kelas tambahannya. Berhenti sejenak untuk makan dan solat. Kemudian menyambung perjalanan dan tiba di Ulu Branang (tempat kursus) pada jam 3.30 petang. Jam 5.00 petang bertolak balik ke Batu Pahat melalui lebuh raya Lekas, Semenyih.  Keluar di Mantin. Nasib tak baik, jem di Seremban. Terperangkap hampir satu jam.

Akhirnya dapat masuk juga ke highway utara-selatan. Itupun dah pukul 6.30. Hasrat hati nak cepat sampai ke rumah. Semua penat, tak mahu makan, tak mahu berhenti langsung. Dalam kereta semua tertidur. Aku  seorang yang jaga, sebab memandu. Cuba nak bawa kereta kurang dari 130, tapi kadang-kadang terlajak juga. Sampai di Pagoh kira-kira 7.30 malam. Berhenti di Petronas untuk isi minyak kereta dan solat maghrib. Kepenatan, keletihan, tidak cukup rehat, kelaparan menjadikan pemandanganku berpinar-pinar. Mujurlah dapat berhenti memandu seketika. Dari Pagoh ke Batu Pahat (dah keluar highway), jalannya memang berliku-liku, gelap dan agak kecil. Lori di hadapanku. Sukar untuk memotong kerana pemandangan terbatas. Terpaksa mengekori lama.

Akhirnya aku tekan minyak,  cuba memotong. Rupanya jalan di hadapan sedikit membelok ke kiri. Aku pula terlupa menurunkan gear kepada lebih rendah. Walaupun lori itu memang perlahan tetapi keretaku juga sukar memecut. Dalam keadaan ini sebuah kereta datang dari arah hadapan. Masa terlalu suntuk untukku berfikir sama ada hendak mengundur ke belakang lori atau terus sahaja memotong. Akupun tak pasti atas dasar apa tindakanku, maka aku terus juga memotong. Aku harap kereta itu jauh lagi. Aku terus memotong. Hati kecilku sedikit menjerit, tanda perlukan sedikit ruang, sedikit pengertian, biarpun pemandu kereta di hadapanku itu sudah pasti tak tahu apa-apa tentang jeritan cemasku  pada masa itu. Masa tu aku rasa betul-betul desparate.

Bacaanku rupanya salah. Kereta itu bukan jauh lagi dengan keretaku. Ia sudah hampir, semakin hampir dan kini benar-benar dekat dengan keretaku. Jarak kami cuma seinci. Kereta kami 90% mungkin bertembung. Aku hanya ada satu saat sahaja lagi untuk terus berusaha menyelamatkan keadaan. Signal kiri kunyalakan, tanda aku sedar keadaan yang kritikal itu dan bersedia masuk ke kiri, ke hadapan lori tersebut. Minta tolong, minta ampun, minta maaf sebesar gunung. Aku tahu aku bersalah, besar salahku. Tapi please …. tak terkeluar suaraku untuk merayu lagi. Dalam hati kecutku, malaikat maut, Izrail, sedang merenung dan menenungku. Dia sedang bermain dam. Buah-buah damnya adalah keretaku, kereta di hadapanku dan lori besar itu. Aku benar-benar pasrah, hampir tak mampu buat apa-apa lagi sebab malaikat maut sedang memegang salah satu daripada kereta kami sebagai buah damnya.

Agak-agak lepas, terus aku membelok ke kiri, mengambil tempat di hadapan lori itu. Waktu itu aku sedar bahawa kereta tadi bergerak sangat perlahan ke arahku bahkan mungkin ia berhenti kecemasan di bahu jalan sebelah kananku. Ketika sedang memintas lori itu aku sedar kereta itu tidak bergerak di kananku. Dia berhenti. Bukan berhenti mengalah tapi berhenti memberiku laluan. Pemandu kereta itu benar-benar menguasai keadaan. Tindakannya betul-betul membantu menyelamatkan kami daripada tragedi. Tuhanlah yang menguasai semua ini. Tuhanlah yang menggerakkan hati pemandu itu untuk bertolak ansur denganku. Tuhanlah yang menggerakkan tangannya untuk menekan brek dan berhenti seketika biarpun memang betul itu jalan dia dan dia lebih berhak. Jika dia terus berjalanpun itu hak dia. Akulah yang bersalah.

Keretaku terus meluncur tetapi tidak laju walaupun sudah berjaya memintas lori besar di malam yang gelap dan pekat itu, walaupun telah berjaya melepasi saat yang amat mencemaskan itu. Kakiku tiba-tiba lemah, tak mempu menekan minyak sederas-derasnya lagi. Kelegaan, kekecutan, keinsafan, kesyukuran dan rasa terima kasihku melenyapkan semua niat untuk cepat sampai ke rumah. Aku sedar saat yang sangat kritikal yang baru berlalu itu berpunca dari tindakanku, mungkin juga keadaan diriku. Aku bersyukur kepada Tuhan yang telah menyelamatkan kami daripada dimamah tragedi. Aku meminta anak-anakku juga sujud syukur kerananya. Aku insaf betapa besarnya, agungnya, berkuasanya, sayangnya, kasihnya,  Allah, Tuhan yang Esa kepada hambanya. Subhana Allah, maha Suci Allah… Engkau tidak jadikan ini sia-sia, peliharalah kami dari api neraka.

Aku seperti merasakan malaikat maut  sedang tersenyum melihatku yang begitu takut dan cemas. Aku juga berterima kasih kepada malaikat Izrail yang memberhentikan kereta di hadapanku dan menarik keretaku ke hadapan lori itu dengan segera (dengan izin Tuhan). Jika tidak, tak tahulah aku apa yang terjadi pada kami bertiga; aku dan dua anakku.

Jika dapatlah aku bertemu dengan pemandu kereta pada malam itu, ingin aku mohon maaf banyak-banyak kerana mendatangkan kesulitan dan terima kasih tidak terhingga kerana sanggup bertolak ansur dan bertimbang rasa denganku. Mungkin dalam hatinya timbul juga rasa marah dan geram terhadapku. Aku terima. Memang patutpun aku kena marah. Aku tak sepatutnya memotong kenderaan dalam keadaan yang  tak pasti dan tak yakin. Entah malam itu kepalaku memang blank. Mungkin kerana terlalu penat, tak cukup rehat dan letih serta mengantuk.

Pengajaran yang teramat sangat buat diriku sendiri dan sesiapa yang ingin berkongsi…. jangan memandu dalam keadaan tak stabil atau anda sendiri menjemput malaikat maut memantau anda. Jangan memotong kenderaan dalam keadaan tak pasti dan tak yakin, ia boleh mengundang sesuatu yang tidak diingini. Ambil masa untuk berehat/ tidur sejenak terutama untuk long distance. Bagiku kejadian malam itu memang miracle. Miracle yang hanya Allah yang Tahu bagaimana kami boleh terselamat sedangkan logiknya tidak begitu…. Hanya Allah yang Tahu.


Kumiliki Trilogi Makrifat Cinta

June 1, 2009

Dalam perjalanan pulang dari menghantar anak sulong saya ke Super Kid Camp di Lenggeng N9,  sempat saya singgah di Seremban 2. Matlamat utamanya untuk mengunjungi 2 kedai buku di Jusco; Popular dan MPH.

Trilogy TR

Alangkah gembiranya kerana buku-buku Taufiqurrahman yang  saya cari  ditemui di kedua-dua kedai buku tersebut. Apalagi… terus saya menyambarnya. Walaupun terpaksa menangguhkan pembacaan kerana terikat dengan tugasan lain, tapi puas hati trilogi Taufiqurrahman sudah lengkap saya miliki; “Syahadat Cinta“, “Musafir Cinta” dan “Makrifat Cinta“.

Rasa tak sabar membaca karya-karya TR itu tapi terpaksa selesaikan beberapa tugasan terlebih dahulu sebelum membukanya. Takut berhantu… dah baca tak boleh berhenti! Hehe.


“Syahadat Cinta” dalam Timbunan Buku

June 1, 2009

Agak lama juga saya tidak menulis di ruangan ini. Maklum sajalah, pelbagai komitmen dan kekangan masa membataskan segalanya.

Namun dalam banyak hal, buku memang selalu di mata dan hati  saya. Jika tidakpun membacanya, sekurang-kurangnya saya gembira melihatnya samada di rumah atau di kedai-kedai buku. Hampir 2 atau 3 kali sebulan saya akan mengunjungi kedai buku Popular yang besar di bandar berhampiran tempat saya tinggal untuk menemani anak perempuan saya yang sering kehabisan buku-buku bacaannya. Walaupun sekali membeli hampir 10 buah buku, namun ia tidak mencukupi kerana dalam masa 4 hari anak saya habis membacanya.  Saya sahaja yang tak mampu membelikannya buku selang 4 hari.

Ketika membelikan anak saya buku, selalunya 1 atau 2 buah buku  mesti sangkut untuk saya juga. Kali ini entah bagaimana yang tersangkut itu bukan genre buku yang sering saya beli tetapi buku novel pula. Setelah usia saya meningkat dewasa, saya tak pernah membaca novel. Jikapun ada membeleknya saya cuma baca bahagian yang awal dan akhir sahaja. Jadi, saya menyelitkan 2 novel dalam timbunan buku anak saya di kaunter bayaran. Saya pilih novel Bestseller dari Indonesia yang sudah dialihbahasa kepada Bahasa Melayu;  “Syahadat Cinta” tulisan Taufiqurrahman dan “Ketika Cinta Bertasbih” tulisan Habiburrahman.

Picture 116

Ternyata buku pertama yang saya baca, “Syahadat Cinta”  tidak mengecewakan. Ia mengenai pencarian diri (soul searching), memenuhi naluri berakidah, diselitkan dengan mencari  pengertian cinta. Bahasanya mudah dan kemas, plotnya menarik. Saya membacanya bukan sekadar kerana ingin mengetahui akhir cerita tersebut tetapi  sememang saya ingin menelusuri setiap ayat dan ceritanya yang sangat hidup dan bermakna itu. Penulis berjaya mengungkapkan persoalan hidup yang paling penting daripada perjalanan hidup Iqbal, watak utamanya. Beberapa kali air mata menitis membacanya.

It’s really  touching, heartrending and fantastic story. I must look for the next two of  Taufiqurrahman’s trilogy; “Musafir Cinta” and “Makrifat Cinta”.


Dilema Wanita Beraspirasi Tinggi

April 3, 2009

secretmm1

Tahniah kepada para wanita yang berjaya mendaki puncak jaya dalam bidang masing-masing. Sudah pasti anda bertuah kerana sebahagian daripada anda mendapat sokongan yang  kuat dan padu daripada  suami yang anda kasihi dan rakan-rakan di sekeliling anda. Sebahagiannya pula mencapai impian di atas kegagahan jiwa dan kegigihan usaha  mereka.

Namun ramai juga wanita yang sukar memperolehi sokongan suami untuk menapak lebih jauh ke hadapan seperti berniaga, naik pangkat, melanjutkan pelajaran dan lain-lain. Kekadang persekitaran juga tidak menyokong. Apapun anda  mempunyai sebab mengapa ingin menapak maju lagi dan suami anda juga ada alasan mengapa tidak menyokong anda yang semuanya anda lebih tahu sebab musababnya.

Jika sememangnya anda jujur ingin meningkat lebih maju, ingin mencapai impian anda yang tinggi menggunung tetapi banyak halangan, cuba baca buku Secrets of the Millionaire Mind tulisan T. Harv Eker seperti di atas. Ada idea yang mungkin boleh dijadikan inspirasi. Saya petik di muka surat 96 – 97:

“What do I do if I’m positive and want to grow, but my husband is a downer? Do I leave him? Do I try and get him to change?”

Ayat ini disoal oleh seorang wanita kepada penulis buku ini. Penulis memberi jawapannya:

First, don’t bother trying to get negative people to change….That’s not your job. Your job is to use what you’ve learned to better yourself and your life… Be the model, be successful, be happy …. they’ll see the light ( in you) and want some of it… Your job is simply to be the best you can be.

Second,  “Everything happens for a reason and that reason is there to assist me”… Yes, it’s much more difficult to be positive and conscious around people and circumstances that are negative, but that’s your test! Just as steel is hardened in the fire, if you can remain true to your values while others around you are full of doubt and even condemnation, you’ll grow faster and stronger.

motivasi-maznahSatu lagi buku yang boleh anda jadikan panduan  ialah Motivasi Memburu Kejayaan tulisan Maznah Hamid.  Keseluruhannya buku ini memang menarik dan perlu dibaca dari kulit ke kulit kerana ianya mengadunkan antara kejayaan peribadi, rumahtangga dan kerjaya (perniagaan) dengan menggunakan segala kebijaksanaan yang ada. Ia mudah dijadikan panduan kerana penulisnya  wanita, sudut pandangannya juga adalah dari perspektif wanita (yang berjaya).  Antara sedutan dari buku tersebut:

Kita dijadikan unik dan dilengkapkan dengan segala keupayaan untuk mencipta kejayaan. Kita mempunyai kebebasan untuk memilih dan mengubah apa jua sikap negatif yang berada dalam diri kita. Apabila kita mampu mengubah sikap kita, maka dunia juga akan turut berubah.

Kedua-dua buku ini memberi panduan bukan sekadar untuk menjadi usahawan berjaya, namun lebih penting lagi bagaimana cara kita berfikir untuk menerima dan mengolah sesuatu sama ada yang negatif atau positif agar menghasilkan kesan yang positif untuk kita menapak maju dan memperbaiki kualiti hidup. Dengan kebijaksanaan, anda mampu menjadikan suami, anak-anak, keluarga, persekitaran dan apa sahaja yang anda miliki sebagai sumber sokongan untuk anda mencapai impian anda.

Selamat tinggal dilema.


Jawapan untuk Syarifah

March 20, 2009

Pada entri kali ini sukalah saya menjawab komen/soalan Cik  Syarifah yang ditulis dalam ‘Bicara Blog’ saya:

Saya ni nak sgt keluar dari kerje makan gaji yang x seberapa ni. Saya berminat sangat nak menceburkan diri dalam bidang perniagaan.. di mana ya saya boleh dapatkan buku wanita berjaya 2.. teringin nak baca dan dijadikan sumber inspirasi untuk berjaya. Sampai bila sy perlu mcm ni.. harap dapat membantu (Syarifah).

Cik  Syarifah,

Terima kasih kerana membaca blog saya.

Saya bukanlah coach perniagaan tetapi saya cuba sebaik mungkin untuk menjawab soalan ini, sekurang-kurangnya sedia berkongsi apa yang saya tahu.

Tahniah kerana Cik  Syarifah sudah memiliki pekerjaan walaupun pulangannya belum memuaskan. Namun ia jauh lebih baik jika dibandingkan dengan ramai lagi wanita di luar sana yang tidak berpeluang untuk bekerja apatahlagi menggenggam duit sendiri.

Semangat berniaga Cik  Syarifah tu memang bagus. Jika Cik  Syarifah ingin mencuba sesuatu yang baru, menukar arah atau menukar kerjaya yang sedia ada kepada perniagaan, saya cadangkan Cik  Syarifah dapatkan maklumat sebanyak mungkin (berkaitan bidang perniagaan yang ingin Cik  Syarifah ceburi), nasihat dari yang arif dan banyakkan membaca pengalaman dan hal ehwal perniagaan serta mengkaji kecenderungan dan keupayaan Cik  Syarifah sendiri. Jika Cik  Syarifah dapat bekerja dahulu dengan sesuatu syarikat yang berkaitan dengan perniagaan yang Cik  Syarifah minati, itu lebih baik, untuk memperolehi pengalaman awal.

Antara buku yang saya cadangkan Cik  Syarifah baca ialah:

  1. Motivasi Memburu Kejayaan (Maznah Hamid)
  2. Menjejaki Jutawan Senyap (Dr. Rusly Abdullah)
  3. 50 Kisah Usahawan Wanita Malaysia (Norlela Zubir)
  4. Idea-Idea Bisnes untuk Usahawan (Ashadi Zain)
  5. Learn From Successful Entrepreneurs, Part 1 & 2 (Vanakkam Malaysia)
  6. Secrets of the Millionaire Mind (T. Harv Eker)
  7. How To Get From Where You Are To Where You Want To Be; 25 Success Principles (Jack Canfield)
  8. Rich Dad Poor Dad (Robert T. Kiyosaki)

Kesemua buku tersebut boleh dibeli di kedai-kedai buku seperti Popular, MPH, Kinokuya dan lain-lain.

Antara sifu dan laman web perniagaan yang mungkin boleh membantu:

  1. http://www.irfankhairi.com/blog (perniagaan internet)
  2. http://www.saifulsham.com (perniagaan internet & idea-idea bisnes)

Antara konsultan dan coach perniagaan kecil/sederhana yang boleh dirujuk:

  1. Norlela Zubir   http://bisneskeluarga.blogspot.com/

Secara peribadi, kerana didorong minat dan mahu mencuba, saya sendiri menceburi bidang perniagaan di samping masih bekerja makan gaji. Oleh kerana saya tidak memiliki latar belakang berniaga, maka saya belajar dari bawah, banyakkan membaca buku pengalaman, perniagaan dan motivasi perniagaan, mendapatkan khidmat nasihat dari beberapa coach dan konsultan perniagaan dan belajar selok belok pengurusan akaun dari yang arif juga.

Kesimpulannya, berniaga bukanlah mudah tetapi ianya bukanlah mustahil. Jika Cik  Syarifah belum berpuashati dengan pendapatan sekarang, ia kerana Cik  Syarifah hanya menerima 1/10 rezeki manakala 9/10 daripadanya ada dalam dunia perniagaan (yang berjaya dan diberkati).

Saya harap jawapan ini sedikit sebanyak membantu Cik  Syarifah.  Selamat maju jaya.


Bukan nilai wang tetapi nilai kejujuran

March 15, 2009

Ketika dalam perjalanan ke kantin bersama Puan Saldah, tiba-tiba terdengar nama Puan Saldah dipanggil oleh seseorang.

Baik saya atau Puan Saldah, kami segera menoleh ke belakang untuk mengetahui siapa yang memanggilnya itu. Rupanya Bakhtiar, pelajar Puan Saldah. Dia bergegas mendapatkan Puan Saldah.

“Cikgu, ini saya pulangkan pen cikgu,” katanya sambil menunjukkan sebatang pen berwarna kelabu tanpa penutup yang kelihatan murah sahaja.

“Alahai Bakhtiar, sayapun dah tak ingat pen ni. Awak ambil sajalah.” Kata Puan Saldah.

“Tak boleh cikgu. Saya cuma pinjam pen cikgu jadi saya kena pulangkan. Tak bolehlah saya ambil terus.” Jujurnya pengakuan budak lelaki bernama Bakhtiar itu.

“Baiklah saya terima. Terima kasih banyak-banyak.” Jawab Puan Saldah.

Kalau nak dikira apalah sangat dengan harga sebatang pen yang tak sampai seringgitpun. Tetapi Bakhtiar  begitu pritahin untuk memulangkan sesuatu yang bukan miliknya. Saya suka dan bangga dengan pelajar tadi yang masih mempunyai satu nilai yang kini sudah jarang dimiliki oleh kebanyakan orang iaitu kejujuran.

Sebenarnya bukanlah nilai wang (sebatang pen) yang berharga sangat tetapi betapa mahalnya nilai kejujuran itu sendiri.


Kalam Sejahtera (Ten Phrases That Lead To Success)

March 12, 2009
  1. Ucaplah  “Subhan Allah” (Maha Suci Allah) ketika melihat keindahan ciptaan Tuhan, nescaya terasa ta’ajub dengan kebesaran dan keagungan-Nya.
  2. Ucaplah  “Alhamdulillah” (Segala puji bagi Allah) ketika menerima sesuatu yang menggembirakan, nescaya jiwa terasa sujud, bersyukur dan merendah hati menerima anugerahNya.
  3. Ucaplah “Allahu Akbar” (Allah Maha Besar), nescaya insaf kebesaran Tuhan tiada tandingan.
  4. Ucaplah “Lailaha illa Allah” (Tiada Tuhan melainkan Allah), nescaya tersimpul kembali kekuatan aqidah.
  5. Ucaplah  “Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun” (Kami datang dari Allah dan akan kembali kepada Allah jua) ketika kesedihan, nescaya jiwa pasrah padaNya yang Satu.
  6. Ucaplah “Lahaula wa la quwata illa bil Allah aliyil adzim” (Tiada kekuatan melainkan dengan kekuatan Allah yang Maha Tinggi dan Maha Agung), nescaya memperolehi semangat dan kekuatan yang luar biasa.
  7. Ucaplah “Astaghfirullah al adzim” (Aku memohon ampun kepada Tuhan yang Maha Agung) ketika tersilap atau terlanjur bersalah, nescaya tunduklah keegoan menggunung.
  8. Ucaplah “Masya Allah” (Itulah kehendak Allah) ketika melihat keanehan, nescaya hati mengiyakan kekuasaan dan qudrat Tuhan untuk melakukan apa jua kemungkinan.
  9. Ucaplah “Hasbi Allah” (Cukuplah Allah bagiku) ketika menghadapi dilema, kemelut hidup dan dicengkam masalah, nescaya jiwa buntu menjadi tenang dan tersingkaplah ruang untuk penyelesaian.
  10. Ucaplah  “Assalamu alaikum” dan  “Wa alaikum salam” (Salam sejahtera untukmu) apabila bersua, nescaya semakin sejahteralah kehidupan insan, terjalinlah kembali tali persaudaraan yang terputus oleh dendam dan keangkuhan.

Buku Usahawan Wanita Penuh Inspirasi

January 25, 2009

dscn22371
Buku 50 Kisah Usahawan Wanita Malaysia ini mengandungi kisah-kisah usahawan wanita Malaysia yang berjaya mengharungi  liku-liku dunia perniagaan masing-masing. Selain memaparkan kisah, buku ini juga mengandungi tip kejayaan bagi hampir setiap tokoh yang ditulis.

Antara tokoh yang dimuatkan dalam buku ini ialah :

1. Datuk Maznah Hamid (Securiforce)

2. Datuk Khatijah Ahmad (KAF Group)

3. Puan Sri Datin Mazmin Nordin (Halim Mazmin Berhad – firma kapal)

4. Dato’ Dr. Zahrah Kadir (B&Z Plastic Industry Sdn. Bhd)

5. Datin Sharifah Anisah (Nona Roguy)

6. Dato’ Dr. Jannie Tay (The Hour Glass Limited – memasarkan jam tangan buatan Swiss)

7. Dato’ Farah Khan (Melium Group)

8. Datin Paduka Siti Sa’sdiah Sheikh Bakir (Kumpulan Perubatan Johor (KPJ) Healthcare Berhad)

9. Dato’ Hazimah Zainudin (Hyrax Oil Sdn. Bhd)

10. Dr. Norsaidatul Akmar Mazelan (Think Plus Consulting Sdn. Bhd)

11. Datin Dr. Clara Lee ( Clara International Beauty Group Sdn. Bhd)

12. Datin Dr. Rehana Kassim (RehanStat Sdn. Bhd – perkhidmatan penyelidikan pemasaran)

13. Datuk Norida Hamzah (Aerotree Defence & Services Sdn. Bhd – pertahanan dan penerbangan).

14. Nafisah Radin (NR Architect dan NR Interior Design).

15. Faiza Bawumi Sayed Ahmad (Syarikat Faiza Sdn. Bhd – beras)

16. Helen Read (Ms Read Sdn. Bhd – rangkaian butik pakaian untuk wanita bertubuh besar)

17. Dr. Wang Kim Ha ( Smart Reader Worldwide Sdn. Bhd)

18. Neeta Gosalia (Neetha Herbals Sdn. Bhd)

19. Noraini Soltan Talib (Sipro Plastic Industries Sdn. Bhd)

20. Saliza Abdullah (Berani Guard Sdn. Bhd)

21. Shahreen Kamaluddin (Personal Empowerment Training & Consulting Sdn. Bhd)

22. Tengku Rozaidar Tengku Zainol Abidin (Nineteen O One Sdn. Bhd. – makanan berasaskan hot dog)

23. Margaret Chin (Roots Consulting Sdn. Bhd. – sistem balanced scorecard)

24. Caroline Russell (Boh Plantation Sdn. Bhd)

25. Rozita Ibrahim (Sendayu Tinggi)

Sekadar menyebut 25 daripada 50 orang ikon yang ditulis dalam buku tersebut. Buku ini diterbitkan oleh PTS Profesional Publishing Sdn. Bhd. dan ditulis oleh Norlela Zubir, seorang ahli perniagaan, mentor, konsultan dan coach perniagaan.

Nota:

Kalau nak berjumpa dengan semua tokoh tersebut dan mengutip pengalaman mereka tentu tidak berkesempatan. Namun dengan adanya buku ini, bolehlah kita memetik  inspirasi dan motivasi untuk menguatkan semangat dalam menuju  matlamat yang diimpikan tidak kira apa jua bidang sekalipun.


Doa Senjata Mukmin

January 22, 2009

Saya menerima aduan daripada seorang ibu yang mengatakan anaknya tidak mahu ke sekolah. Anaknya baru tingkatan empat. Di rumah, anaknya tidak membuat apa-apa kerja melainkan duduk, makan, minum dan menonton TV. Tidak juga dia keluar dan bergaul dengan rakan-rakan. Namun anak lelakinya agak pendiam dan susah untuk mencungkil sebab kengganannya ke sekolah.

Memang ada banyak sebab pelajar tidak mahu ke sekolah. Mungkin kerana tidak siap kerja sekolah, dibuli kawan, rimas dengan disiplin sekolah, sekolah membosankan, diugut rakan, memang malas belajar, tidak minat dan bermacam-macam lagi.

Walau apapun, saya suka mengingatkan ibu-ibu yang menghadapi masalah ini agar banyak berdoa disamping pelbagai langkah untuk mengatasinya. Berdoa agar anak mereka diberi hidayah untuk menuntut ilmu, dilembutkan hati untuk mengikut petunjuk Ilahi, diberi rasa minat untuk belajar, dikurniakan rasa nikmat untuk mencari hikmat dan kebijaksanaan dan yang seumpamanya. Bawalah doa ini dalam solat lima waktu, solat hajat, solat dhuha dan lain-lain masa ketika berkomunikasi dengan Tuhan.

Sesungguhnya memberi sokongan rohani terhadap anak-anak samalah pentingnya dengan memberi anak-anak makan dan minum setiap hari. Apapun masalah yang dihadapi, tetap ada jalan penyelesaiannya. Bukankah doa itu senjata mukmin?


Doktrin Yahudi Darah Palestin

January 15, 2009

Mustahil Yahudi akan bertolak ansur dengan orang Islam khususnya rakyat Palestin yang sedang dilanyaknya ketika ini  tanpa peri kemanusiaan. Ini kerana mereka berpegang kepada doktrin mereka yang menggariskan bahawa hanya kaum Yahudi yang layak hidup di bumi ini dan bangsa yang lain (Palestin) dianggap sebagai haiwan dan mesti dihapuskan.

Kebiasaannya manusia akan bertindak mengikut apa yang dipercayai dan diyakininya. Jika dalam diri setiap zionis sudah terpahat kepercayaan yang sedemikian, tidak mustahillah mereka tidak mempedulikan apa jua bantahan dunia untuk menghentikan peperangan. Ini kerana mereka cukup yakin apa yang mereka lakukan adalah benar seperti termaktub dalam doktrin mereka. Mereka kuat berpegang padanya. Itulah akidah mereka walaupun ianya salah.

Jadi, bagaimana untuk mententeramkan keadaan hurau hara dan peperangan buatan yahudi ini? Mungkin  dengan mengubah akidah mereka kepada akidah yang benar, akidah yang bertauhidkan Ilahi, akidah yang menyayangi semua umat manusia, akidah yang sukakan keamanan. Barulah aman dunia ini.

Justeru, barangkali elok juga berdoa agar orang-orang Yahudi itu diberi hidayah dan petunjuk Tuhan. Hanya imanlah yang akan merubah kedegilan, keegoan dan keangkuhan mereka.

(Saya sengaja tidak mahu meletakkan gambar kerana tidak sampai hati melihat azab sengsara mangsa peperangan).


Taekwando in Action

January 11, 2009

Setiap petang Ahad begini memang sudah menjadi tugas saya menghantar anak-anak ke kelas Taekwando. Semua meminatinya dan mereka tampak gembira dan ceria menyertainya. Seorang di tali pinggang merah, 3 biru dan seorang kuning.

Antara faedah aktiviti ini sejauh yang saya lihat:

1. Melatih berdisiplin.

2. Melatih lebih fokus.

3. Latihan fizikal menyihatkan badan.

4. Menyediakan kemahiran mempertahankan diri.

5. Menghormati yang tua.

6. Meningkatkan ketahanan fizikal dan mental.

7. Kemahiran bersosial.

8. Kemahiran kinestetik.

9. Melatih sikap berani.

10. Melatih yakin diri.

11. Kemahiran komunikasi.

12. Menanam sikap saling bantu membantu.

13. Melatih bertolak ansur.

Kepuasan  saya pula ketika mengiringi anak-anak berlatih  ialah rasa seronok melihat kelincahan mereka beraksi tangkas. Rasa nak belajar juga tapi macam dah terlewat.


Kemas rumah edisi musim persekolahan

January 4, 2009
Ruang tamu merangkap ruang rehat dan ruang untuk belajar. Meja Jepun untuk anak perempuan, anak lelaki sekolah rendah dan saya melepakkan kerja dan meja tinggi untuk anak-anak bujang melepakkan 'homework' mereka. Rak buku dan komputer diletak berdekatan untuk memudahkan akses rujukan dan menyiapkan tugasan.

Ruang tamu merangkap ruang rehat dan ruang untuk belajar. Meja Jepun untuk anak perempuan, anak lelaki sekolah rendah dan saya melepakkan kerja dan meja tinggi untuk anak-anak bujang melepakkan 'homework' mereka. Rak buku dan komputer diletak berdekatan untuk memudahkan akses rujukan dan menyiapkan tugasan.

Musim persekolahan akan bermula dengan rasminya esok, 5 Januari 2008. Banyak persediaan dan pengemaskinian terhadap pelbagai perkara saya buat agar sesuai dengan keadaan anak-anak yang bersekolah. Ini termasuklah jadual rutin dan persediaan ruang belajar.

Malam tadi saya baru siap mengemas rumah untuk disesuaikan dengan musim persekolahan ini. Maklumlah, anak-anak yang bersekolah ada lima orang semuanya dengan empat lelaki dan seorang perempuan. Boleh dibayangkan bertimbunnya buku, fail,  kertas-kertas dan alat tulis mereka terutama ketika sedang menyiapkan ‘homework’. Biasanya mereka suka buat kerja di ruang tamu bersama adik-beradik. Rumah pula kecil sahaja. Maka perlulah saya menyusunnya agar ia sesuai untuk belajar beramai-ramai dengan pelbagai peralatan dan mudah pula akses saya ketika perlu. Sebab itu mereka tidak belajar di bilik. Saya pula lebih mudah memberi bantuan jika mereka berada setempat.

Ringkas.

Ringkas.

Yang penting ruang itu sesuai,  praktikal dan selesa digunakan untuk pelbagai tujuan; belajar, berbincang, membuat rujukan, menaip dan adakalanya menerima tetamu. Begitulah adanya untuk rumah bersaiz kecil dengan majoriti anak-anak (5 daripada 6) masih bersekolah rendah dan menengah dan tiada seorangpun yang tinggal di asrama. Syukur.


Pentingkah “Affirmation”?

January 1, 2009

Barangkali ‘affirmation‘  boleh saya istilahkan sebagai ‘lafaz penegasan’ atau ‘ikrar pengukuhan’ atau ‘lafaz peneguhan’ dalam bahasa Melayu. Perlukah ‘lafaz peneguhan’ ini untuk menguatkan sesuatu azam?

Mengikut pakar-pakar NLP, salah satu cara untuk konsisten dengan sesuatu yang dilakukan atau azam yang dibuat adalah dengan membuat ‘lafaz peneguhan’ yang berulangkali. Ia penting untuk membentuk minda (bawah sedar)  yang terarah kepada tujuan yang dimaksudkan.  Bahkan ada yang mencadangkan agar peneguhan itu dibuat 400 kali sehari dalam masa 30 hari, pada peringkat permulaannya.

Contohnya mahu bangun awal pagi, mahu lebih berdisiplin, mahu berbaik dengan suami/isteri, mahu berhenti merokok, mahu berhenti berleter, mahu menghargai diri sendiri dan sebagainya. Contoh ‘lafaz penegasan’; “Aku akan bangun jam 4 pagi, dengan izin Allah” atau “aku akan berusaha dengan tekun” atau “aku menghormati suami aku” atau “aku menyayangi isteri aku” atau “aku boleh hidup tanpa rokok, dengan bantuan Allah” atau “aku tidak akan berleter lagi, dengan izin Allah” atau “aku akan berfikir dahulu sebelum bercakap” atau “aku menghargai diriku sendiri” dan sebagainya.

Dalam Islam juga ada konsep ‘lafaz penegasan’. Contohnya mengucap dua kalimah syahadat ketika memeluk Islam, semua bacaan dan amalan dalam solat. Bahkan dalam sehari ada lima kali ‘lafaz peneguhan’. Sesetengah bacaan lebih daripada lima kali kerana ia diulang pada tahiyat awal dan akhir seperti dua kalimat syahadat. Sebelum solat diwajibkan lima kali sehari, ia asalnya berjumlah lima puluh kali sehari. Ini menunjukkan otak manusia perlu sentiasa  diprogramkan berulangkali untuk membentuk perubahan sikap atau konsistensi tingkahlaku.

Kesimpulannya  ‘lafaz penegasan’ atau ‘lafaz pengukuhan’ atau ‘affirmation’ yang disarankan dalam NLP sememangnya penting dan perlu untuk menguatkan azam dan  ianya sudah dipraktikkan sejak Islam itu diturunkan.

Selamat membuat ‘lafaz penegasan’ atau ‘affirmation’.


Selamat Tahun Baru

December 28, 2008

Selamat tahun baru Hijrah 1430 kepada semua muslimin dan muslimat.  Semoga kesilapan dan kekurangan lalu diampunkan dan dimaafkan dan semoga amalan yang baik  dapat dipertingkatkan menjelang tahun baru ini.

Mungkin secara mudahnya  nilai hijrah dapat dilihat sepertimana saranan Rasulullah bahawa seorang yang baik adalah yang hari esoknya lebih baik daripada hari ini dan hari ini lebih baik daripada semalamnya.

Semoga tahun baru membawa kita kepada kehidupan yang lebih bermakna yang penuh dengan keberkatan.

Amin.


Inspirasi dari KFC

December 28, 2008

sanders1Dua hari lepas, saya bersama suami dan anak sulong kami singgah di KFC. Ketika sedang menikmati hidangan ’snack plate’ saya terpandang gambar seorang tua berambut putih sedang membuat persediaan untuk menggoreng ayam bersama rempah ratusnya. Foto itu sengaja diletakkan sebagai hiasan dinding di hadapan saya. Dalam hati bertanya, siapakah lelaki itu? Tentu ada kaitannya dengan KFC.

Rupanya dia adalah pengasas resipi ayam goreng KFC iaitu Colonel Harland Sanders yang dilahirkan di Kentucky pada tahun 1890. Semasa zaman kanak-kanaknya dia biasa memasak kerana ibunya sibuk bekerja setelah ayahnya yang bekerja sebagai pelombong meninggal dunia dunia ketika usianya sementah enam tahun. Manakala beliau pula anak sulong daripada lima orang adik beradik. Antara masakan yang beliau pelajari daripada ibunya ialah memasak ayam goreng. Namun untuk menjadi tauke ayam goreng bukanlah semudah dan sepantas itu. Sebaliknya Sanders sering bertukar kerja sehinggalah usianya 40 tahun. Waktu itu dia membuka stesyen minyak di Kentucky. Dalam masa yang sama dia memberi peluang orang yang singgah di situ menikmati ayam goreng yang dimasaknya sendiri. Akhirnya ramai orang menggemari keenakan rasa ayam goreng Sanders.

Kemudian dia membuka restoran ayam gorengnya sendiri bagi memenuhi permintaan orang ramai yang rindukan ayam gorengnya. Malangnya restorannya terpaksa ditutup (1952) dan Sanders kehilangan semua perniagaannya melainkan resipi menggoreng ayam yang mengadunkan 11 aneka herba dan ramuan itu. Akhirnya Sanders berjaya memfrancaiskan perniagaan ayam gorengnya dan semua itu dicapai hanya pada usianya 65 tahun. Kini KFC berada di lebih 80 buah negara dengan pendapatan tahunannya (royaltinya) melebihi USD4o,000 setahun.

Termenung sejenak saya membaca kisahnya. Beberapa pengajaran yang saya perolehi di sini ialah:

  1. Jangan ragu menggilap bakat yang tampak semasa zaman kanak-kanak. Ia boleh menjadi sumber pendapatan dan sumber hidup yang kekadang lumayan.
  2. Jika ‘bintang’ belum menyerlah dalam sesuatu bidang, jangan berputus asa. Teruskan usaha dan lakukan apa yang anda sukai kerana pintunya mungkin akan terbuka juga suatu hari nanti.
  3. Jika anda suka memasak, teruslah memasak. Jika anda suka menulis, teruslah menulis. Jika anda suka komputer, teruslah menggodam komputer. Jika anda suka melukis, teruslah melukis. Jika anda suka enjin, teruslah menggodam enjin motor (bukan motor curi) dan pelajari matematik kejuruteraan. Jika anda berhenti berbuat demikian, maka momentum untuk anda memulakannya kembali menjadi lemah.
  4. Mustahil kejayaan datang dalam masa sehari atau bergolek. Pasti ada harga yang perlu dibayar. Itulah ketekunan, kesabaran, disiplin dan konsisten.
  5. Jangan jadikan umur sebagai batasan untuk berjaya. Kejayaan adalah sukjektif. Ia akan datang kepada mereka yang inginkannya.
  6. Setiap orang berhak meraih kejayaan mengikut perspektif dan cara masing-masing.

Sebenarnya ramai di Malaysia yang sudah berjaya. Contoh di atas sekadar memetik inspirasi dari sekeping foto seorang lelaki tua berjanggut putih di KFC yang saya singgahi.

Nota: Kalaulah Sanders itu Islam, betapa panjang amal jariahnya…


Anugerah Wanita Inspirasi Wanita

December 24, 2008
Freida Mohd. Pilus

Freida Mohd. Pilus

Membaca dan mengetahui kisah wanita berjaya sememangnya menjadi kegemaran saya. Saya tumpang bangga dan seronok melihat kejayaan wanita dalam apa jua bidang. Di sini saya paparkan beberapa usahawan wanita yang berjaya dalam perniagaan masing-masing serta meraih anugerah yang setimpal dengan penat lelah mereka.

Baru-baru ini Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (Smidec) dan Kementerian Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat serta Persekutuan Persatuan Wanita Malaysia telah mengadakan Anugerah Usahawan Wanita Kebangsaan 2008 (NMEA 2008) bertempat di Putrajaya.

Anugerah tersebut telah dimenangi oleh seorang usahawan berjiwa pendidik iaitu Datin Freida Mohd Pilus, pengasas dan Pengerusi Cempaka Schools Sdn Bhd. Ibu kepada lima anak lelaki ini telah menubuhkan sekolah tersebut 25 tahun lalu. Datin Freida kini mengendalikan lima buah sekolah termasuk sekolah antarabangsa berasrama penuh untuk pelajar perempuan di @enstek, berhampiran dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Dengan kemenangan tersebut beliau telah menerima hadiah bernilai lebih RM100,000 termasuk sebuah kereta pacuan empat roda jenis Nautica tajaan Perodua.

Tempat kedua dimenangi oleh Datuk Azlina Che Abdullah, seorang pengasas produk kecantikan, De Classic Life (M) Sdn Bhd manakala tempat ketiga pula disandang oleh Julia Chong Chooi Fong yang mengasas dan menerajui syarikat The Truly Loving Company Sdn Bhd.

Tidak ketinggalan juga ialah penerima Anugerah Usahawan Baru yang dimenangi Pengarah Urusan, Clear Insights Technology Sdn Bhd iaitu Siti Mariam Abdullah, Anugerah Usahawan Platinum dimenangi oleh Pengarah Urusan, JWR Technology (M) Sdn Bhd iaitu Johora Bee Shaik Nattershah dan Anugerah Usahawan Luar Biasa telah dianugerahkan kepada siapa lagi jika bukan ‘iron lady’ Malaysia iaitu Pengerusi Eksekutif, Securiforce Sdn Bhd, Datuk Maznah Abdul Hamid.

Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah telah berkenan menyampaikan kesemua anugerah kebanggaan usahawan wanita itu.

Sesungguhnya bukan mudah untuk menjadi wanita yang berjaya mengimbangi antara keperluan diri, keluarga dan kerjaya atau perniagaan. Justeru itulah kejayaan mereka boleh menjadi inspirasi dan motivasi kepada wanita lain yang mempunyai aspirasi tinggi untuk mencapai kecemerlangan dalam semua aspek kehidupannya. Syabas wanita!

Untuk membaca berita penuh, sila klik di sini.


Cuti di Bumi Kenyalang

December 22, 2008
Sesekali bercuti di Bumi Kenyalang

Sesekali bercuti di Bumi Kenyalang

Cuti sekolah bermula. Entri inipun menyepi. Sebenarnya saya bercuti di Sarawak mulai 17 November hingga 2 Disember 2008.

Saya tidak berkesempatan untuk melayari internet semasa di sana melainkan sesekali menggunakan telefon bimbit saya untuk menyemak email. Banyak destinasi yang saya tuju terletak berjauhan antara satu sama lain. Perjalanan agak meletihkan tetapi menyeronokkan. Antara lokasi yang saya kunjungi ialah Kuching, Serian, Serikin, Sri Aman, Sibu, Sarekei dan Matu-Daro serta Mukah.

Semasa dalam perjalanan antara Matu-Daro dan Mukah, terdapat satu tempat yang bernama Dalat. Saya teringat salah satu topik yang terdapat dalam ‘literature’ tingkatan satu (kalau tak silap) bertajuk ‘How Dalat Got Its Name’. Kini saya sendiri menyaksikan tempat yang bernama Dalat. Rasanya mantap cerita Dalat dalam ingatan saya. Antara makanan yang ‘tip top’ bagi Dalat ialah ’sago’ (makanan tradisional)nya antara yang paling sedap. Semasa di Mukah pula, saya tidak dapat melupakan keenakan makan umai, sejenis makanan daripada ikan segar mentah. Memang ummhh! Sewaktu di Sarekei, saya dan keluarga begitu berselera sekali dengan hidangan tempoyak goreng, ikan terubuk masin, sejenis kerabu daripada buah (macam buah pelam, saya lupa namanya), belacan goreng dan macam-macam yang memang membangkit selera.

dscn2094

Pengalaman menaiki kapal terbang bukanlah asing namun agak menakutkan semasa dalam penerbangan dari Senai ke Kuching. Petang itu hujan lebat. Cuaca mendung dan gelap. Gegaran yang dirasakan di dalam pesawat membuat saya benar-benar pasrah. Syukur penerbangan selepas itu dari Kuching ke Sibu lancar dan selamat. Pengalaman menaiki feri di Sungai Igan pula merupakan suatu yang menyegarkan. Manakala pengalaman menaiki bot ekspres dari Daro ke Sibu menyeronokkan tetapi ada ketikanya mencemaskan iaitu ketika bot sedikit melambung dipukul ombak. Pengalaman menyayat hati pula ketika terserempak dengan kemalangan ngeri sewaktu perjalanan menaiki kereta dari Kuching ke Sibu. Kereta bertembung dengan motorsikal, penunggang motorsikal tercampak dan berguling atas jalan raya dan motorsikalnya terbakar. Manakala kereta malang pula tercampak ke dalam gaung dan terbakar juga. Tidak tahu bagaimana nasib penumpang kereta tersebut. Sedihnya kejadian berlaku waktu malam dan jalan yang berliku-liku pula gelap tidak berlampu. Mujurlah banyak kenderaan yang berhenti dan menyalakan lampu. Paling terang ialah lampu bomba yang dibiarkan menerangi kawasan tragis itu sehingga semua urusan selesai. Kereta saya melepasi kawasan itu kira-kira jam 11 malam.

Yang menyeronokkan pula dapat bertemu dengan saudara mara dan rakan-rakan di Sarawak setelah lama tidak bertemu. Mereka seperti dahulu, begitu mesra dan mudah untuk membantu. Antara yang ditemui ialah kak Ju, Madihi, Sukarno, Sharifah Mona (jumpa setelah 14 tahun), anak-anak buah di Kg. Tian, Matu, Daro, Sarekei, Sibu dan Kuching. Shopping pula di pelbagai tempat. Boleh kata setiap tempat yang disinggahi pasti ada barang yang dibeli. Paling tidakpun makan.

Keseluruhannya cuti di Sarawak kali ini memang berbaloi.


Kelebihan Membaca Al-Fatihah

October 17, 2008

Antara fadhilat membaca Al-Fatihah:
1. Menggamit ingatan seseorang (suami, isteri, anak-anak dan keluarga) terhadap kasih sayang dan tanggungjawabnya kepada diri anda dan keluarga.
[Baca 14kali sebelum tidor]

2. Mengubati penyakit-penyakit dalaman.
[Baca 41kali dan tiupkan ke dalam air minuman. Minum dan gunakan untuk mandian.]
3. Untuk penyakit-penyakit yang berkaitan dengan mentaliti.
[Baca 7kali apabila kepala seseorang rubbing pada waktu pagi sekali dan waktu malam sekali setiap hari tanpa henti.]
4. Apabila terasa sangat sakit.
[Baca 3kali dan tiupkan ke dalam air dan minum. Kemudian baca al Fatihah ketika rubbing di bahagian yang terasa sakit.]
5. Untuk bayi yang sering menangis pada waktu malam.
[Baca 7kali di bahagian kepala bayi]

Kesemua di atas, InsyaAllah akan berkesan jika apa yang kita lakukan adalah mengharapkan keberkesanan daripada-NYA dan mempercayai bahawa surah Al Fatihah adalah penawar bagi segala-galanya. Baca dengan khusyuk dan bertawakal kepada ALLAH… Yang penting adalah niat kita; yakin dengan ketentuan Ilahi dan apa yang kita lakukan.


Fokus Kepada Yang Positif

August 22, 2008

Dalam kehidupan ini, saban hari kita akan melalui pelbagai peristiwa. Ada yang sedih, lucu, menyeronokkan, membanggakan, membuat kita menyesal, membuat kita marah, membuat kita yakin dan sebaliknya.

Apakah yang menyebabkan kita memperolehi kesan negatif daripada pengalaman-pengalaman tersebut? Jawapannya ialah mentaliti kita sendiri, perspektif kita sendiri atau cara bagaimana kita memandang sesuatu perkara sama ada positif atau negatif. Itulah yang akan memberi kesan kepada diri kita sendiri.

Sebagai contoh; Kita lawan marah orang yang marah-marah kepada kita. Hasilnya hubungan menjadi semakin tegang, tiada penyelesaian yang baik kerana masing-masing mengikutkan perasaan, tenaga habis untuk marah, urat saraf menjadi tegang (jika terlalu kerap dan menjadi habit, berpotensi menghidapi hipertension atau darah tinggi) dan lain-lain. Sebaliknya jika kita biarkan seketika, mungkin orang yang marah-marah akan tahu akhirnya hakikat sebenar dan dia tak perlu marah, tiada cabar mencabar, hempas menghempas, ketegangan urat saraf, jauh dari penyakit, reserve tenaga dan yang paling penting memberi ruang untuk semua pihak berfikir secara rasional, matang dan menguntungkan. Apabila situasi tenang, maka perbincangan akan lebih mudah dilakukan kerana fikiran lebih terbuka dan hati lebih bersedia. Pahalapun lebih kerana bersabar.

Contoh lain; kita berusaha dan kita gagal. Pemikiran negatif akan menyesalinya tetapi pemikiran positif akan mengambil pengajaran daripadanya dan tidak akan mengulangi kesilapan yang sama, bahkan menjadikan kegagalan itu sebagai ‘quantum leap’ untuk menjadi lebih maju.

Nota: Faham mengapa diwujudkan syurga dan neraka. Kerana Tuhan suruh kita fokus kepada yang baik, yang positif dan yang menguntungkan.