Little Smarts

April 15, 2008

Kadangkala pelajar yang muda dan kecil sangat bermakna.

Dalam kelab Pusat Sumber yang saya kendalikan, jawatankuasa tertingginya terdiri daripada pelajar-pelajar menengah atas yang bakal menduduki SPM tahun ini atau tahun hadapannya. Jadi mereka sentiasa sibuk dengan pelajaran, kelas tambahan dan perbincangan kumpulan mereka. Maka saya tidak boleh mengharapkan mereka untuk membantu saya dalam tugasan yang berkaitan Pusat Sumber secara aktif.

Namun begitu, saya merasa bertuah kerana terdapat pustakawan sesi petang yang seringkali hadir awal di waktu pagi. Mulanya saya kurang yakin dengan kemampuan mereka. Namun setelah beberapa kali mereka menunjukkan kesungguhan, kini merekalah yang sebenarnya boleh saya harapkan dalam membantu meringankan tugasan saya dalam Pusat Sumber; mengurus pinjam pulang buku, mengkatalog bahan buku, mengurus akhbar dan majalah, membersih dan mengemas, membuat ‘paper cuttings’ dan pelbagai kerja yang kekadang remeh tetapi penting.

Saya bersyukur dengan adanya sekumpulan Little Smart yang begitu rajin, berpotensi dan komited. Terima kasih Wani, Syuadah, Hamizah, Syakila dan beberapa lagi yang namanya masih saya keliru. Semoga sumbangan anda adalah sebahagian daripada pembelajaran anda. Saya sangat menghargainya.


Tragis Sufiah

April 2, 2008

Membaca berita terkini tentang Sufiah Yusuf, seorang genius Matematik, saya rasa terkejut dan sedih serta kasihan. Jika benarlah cerita itu, Sufiah sebenarnya hilang arah, atau sedang memberontak, atau sedang hanyut dengan hidup yang mengecewakan. Sufiah seorang yang bijak tetapi perlukan bantuan dari seorang penasihat atau pembimbing atau coach untuk membawanya pulang kepada dirinya yang sebenar.

Benarlah kata-kata, “Siapa yang mengenal dirinya maka dia mengenal Allah.” Dalam erti kata yang lain, orang yang mengenali diri sendiri; kekuatan, kelemahan, keistimewaan, kekurangan, keperluan, kecenderungan, hala tuju, asal usul, sumbangan, penciptaan dirinya dan lain-lain, maka dia akan merasa insaf dengan kebesaran dan kehebatan Tuhan yang menciptakannya. Dia merasa bertuah dan beruntung kerana dikurniakan sekian banyak nikmat yang tidak terhingga. Biarpun kekadang direntangkan masalah, kesusahan dan dugaan, dia tetap berterima kasih kerana dikurniakan daya fikir untuk menyelesaikannya. Saat jiwa menjadi lesu, dia begitu terharu kerana Allah sentiasa bersedia 24 jam, 7 hari seminggu, 365 hari setahun tanpa sesaat pun bosan daripada mendengar ratapan, rintihan dan pengaduan hambaNya yang kesusahan dan kesengsaraan. Begitu agungnya Ilahi. Dia memberi ujian, tetapi ada nikmat di hujung jalan. Dia memberi masalah, tetapi dibekalkan akal untuk menyelesaikannya. Diberikan nikmat, tetapi ditagih kesyukuran menerimanya.

Adakah Sufiah tidak mengenali dirinya? Dia mungkin tahu kelebihannya tetapi dia hilang keyakinan diri. Barangkali beliau melalui peristiwa-peristiwa yang sangat menekan jiwanya sehingga melenyapka self esteem yang ada pada dirinya. Di sinilah Sufiah perlukan bantuan.

Walau apapun, Sufiah belum terlambat. Dia boleh kembali ke pangkal jalan. Sama-samalah kita mendoakan.