Barangkali ‘affirmation‘ boleh saya istilahkan sebagai ‘lafaz penegasan’ atau ‘ikrar pengukuhan’ atau ‘lafaz peneguhan’ dalam bahasa Melayu. Perlukah ‘lafaz peneguhan’ ini untuk menguatkan sesuatu azam?
Mengikut pakar-pakar NLP, salah satu cara untuk konsisten dengan sesuatu yang dilakukan atau azam yang dibuat adalah dengan membuat ‘lafaz peneguhan’ yang berulangkali. Ia penting untuk membentuk minda (bawah sedar) yang terarah kepada tujuan yang dimaksudkan. Bahkan ada yang mencadangkan agar peneguhan itu dibuat 400 kali sehari dalam masa 30 hari, pada peringkat permulaannya.
Contohnya mahu bangun awal pagi, mahu lebih berdisiplin, mahu berbaik dengan suami/isteri, mahu berhenti merokok, mahu berhenti berleter, mahu menghargai diri sendiri dan sebagainya. Contoh ‘lafaz penegasan’; “Aku akan bangun jam 4 pagi, dengan izin Allah” atau “aku akan berusaha dengan tekun” atau “aku menghormati suami aku” atau “aku menyayangi isteri aku” atau “aku boleh hidup tanpa rokok, dengan bantuan Allah” atau “aku tidak akan berleter lagi, dengan izin Allah” atau “aku akan berfikir dahulu sebelum bercakap” atau “aku menghargai diriku sendiri” dan sebagainya.
Dalam Islam juga ada konsep ‘lafaz penegasan’. Contohnya mengucap dua kalimah syahadat ketika memeluk Islam, semua bacaan dan amalan dalam solat. Bahkan dalam sehari ada lima kali ‘lafaz peneguhan’. Sesetengah bacaan lebih daripada lima kali kerana ia diulang pada tahiyat awal dan akhir seperti dua kalimat syahadat. Sebelum solat diwajibkan lima kali sehari, ia asalnya berjumlah lima puluh kali sehari. Ini menunjukkan otak manusia perlu sentiasa diprogramkan berulangkali untuk membentuk perubahan sikap atau konsistensi tingkahlaku.
Kesimpulannya ‘lafaz penegasan’ atau ‘lafaz pengukuhan’ atau ‘affirmation’ yang disarankan dalam NLP sememangnya penting dan perlu untuk menguatkan azam dan ianya sudah dipraktikkan sejak Islam itu diturunkan.
Selamat membuat ‘lafaz penegasan’ atau ‘affirmation’.



Menulis untuk ekspresi, Menulis untuk eksplorasi, Menulis untuk bantu diri, Menulis untuk khidmat insani, Menulis untuk berkongsi, Menulis untuk menikmati, Menulis untuk menghargai, Menulis untuk rehat diri, Menulis untuk terapi.
"The act of writing is the act of discovering what you believe."
