Pada entri kali ini sukalah saya menjawab komen/soalan Cik Syarifah yang ditulis dalam ‘Bicara Blog’ saya:
Saya ni nak sgt keluar dari kerje makan gaji yang x seberapa ni. Saya berminat sangat nak menceburkan diri dalam bidang perniagaan.. di mana ya saya boleh dapatkan buku wanita berjaya 2.. teringin nak baca dan dijadikan sumber inspirasi untuk berjaya. Sampai bila sy perlu mcm ni.. harap dapat membantu (Syarifah).
Cik Syarifah,
Terima kasih kerana membaca blog saya.
Saya bukanlah coach perniagaan tetapi saya cuba sebaik mungkin untuk menjawab soalan ini, sekurang-kurangnya sedia berkongsi apa yang saya tahu.
Tahniah kerana Cik Syarifah sudah memiliki pekerjaan walaupun pulangannya belum memuaskan. Namun ia jauh lebih baik jika dibandingkan dengan ramai lagi wanita di luar sana yang tidak berpeluang untuk bekerja apatahlagi menggenggam duit sendiri.
Semangat berniaga Cik Syarifah tu memang bagus. Jika Cik Syarifah ingin mencuba sesuatu yang baru, menukar arah atau menukar kerjaya yang sedia ada kepada perniagaan, saya cadangkan Cik Syarifah dapatkan maklumat sebanyak mungkin (berkaitan bidang perniagaan yang ingin Cik Syarifah ceburi), nasihat dari yang arif dan banyakkan membaca pengalaman dan hal ehwal perniagaan serta mengkaji kecenderungan dan keupayaan Cik Syarifah sendiri. Jika Cik Syarifah dapat bekerja dahulu dengan sesuatu syarikat yang berkaitan dengan perniagaan yang Cik Syarifah minati, itu lebih baik, untuk memperolehi pengalaman awal.
Antara buku yang saya cadangkan Cik Syarifah baca ialah:
- Motivasi Memburu Kejayaan (Maznah Hamid)
- Menjejaki Jutawan Senyap (Dr. Rusly Abdullah)
- 50 Kisah Usahawan Wanita Malaysia (Norlela Zubir)
- Idea-Idea Bisnes untuk Usahawan (Ashadi Zain)
- Learn From Successful Entrepreneurs, Part 1 & 2 (Vanakkam Malaysia)
- Secrets of the Millionaire Mind (T. Harv Eker)
- How To Get From Where You Are To Where You Want To Be; 25 Success Principles (Jack Canfield)
- Rich Dad Poor Dad (Robert T. Kiyosaki)
Kesemua buku tersebut boleh dibeli di kedai-kedai buku seperti Popular, MPH, Kinokuya dan lain-lain.
Antara sifu dan laman web perniagaan yang mungkin boleh membantu:
- http://www.irfankhairi.com/blog (perniagaan internet)
- http://www.saifulsham.com (perniagaan internet & idea-idea bisnes)
Antara konsultan dan coach perniagaan kecil/sederhana yang boleh dirujuk:
- Norlela Zubir http://bisneskeluarga.blogspot.com/
Secara peribadi, kerana didorong minat dan mahu mencuba, saya sendiri menceburi bidang perniagaan di samping masih bekerja makan gaji. Oleh kerana saya tidak memiliki latar belakang berniaga, maka saya belajar dari bawah, banyakkan membaca buku pengalaman, perniagaan dan motivasi perniagaan, mendapatkan khidmat nasihat dari beberapa coach dan konsultan perniagaan dan belajar selok belok pengurusan akaun dari yang arif juga.
Kesimpulannya, berniaga bukanlah mudah tetapi ianya bukanlah mustahil. Jika Cik Syarifah belum berpuashati dengan pendapatan sekarang, ia kerana Cik Syarifah hanya menerima 1/10 rezeki manakala 9/10 daripadanya ada dalam dunia perniagaan (yang berjaya dan diberkati).
Saya harap jawapan ini sedikit sebanyak membantu Cik Syarifah. Selamat maju jaya.



Menulis untuk ekspresi, Menulis untuk eksplorasi, Menulis untuk bantu diri, Menulis untuk khidmat insani, Menulis untuk berkongsi, Menulis untuk menikmati, Menulis untuk menghargai, Menulis untuk rehat diri, Menulis untuk terapi.
"The act of writing is the act of discovering what you believe."
