Agak lama juga saya tidak menulis di ruangan ini. Maklum sajalah, pelbagai komitmen dan kekangan masa membataskan segalanya.
Namun dalam banyak hal, buku memang selalu di mata dan hati saya. Jika tidakpun membacanya, sekurang-kurangnya saya gembira melihatnya samada di rumah atau di kedai-kedai buku. Hampir 2 atau 3 kali sebulan saya akan mengunjungi kedai buku Popular yang besar di bandar berhampiran tempat saya tinggal untuk menemani anak perempuan saya yang sering kehabisan buku-buku bacaannya. Walaupun sekali membeli hampir 10 buah buku, namun ia tidak mencukupi kerana dalam masa 4 hari anak saya habis membacanya. Saya sahaja yang tak mampu membelikannya buku selang 4 hari.
Ketika membelikan anak saya buku, selalunya 1 atau 2 buah buku mesti sangkut untuk saya juga. Kali ini entah bagaimana yang tersangkut itu bukan genre buku yang sering saya beli tetapi buku novel pula. Setelah usia saya meningkat dewasa, saya tak pernah membaca novel. Jikapun ada membeleknya saya cuma baca bahagian yang awal dan akhir sahaja. Jadi, saya menyelitkan 2 novel dalam timbunan buku anak saya di kaunter bayaran. Saya pilih novel Bestseller dari Indonesia yang sudah dialihbahasa kepada Bahasa Melayu; “Syahadat Cinta” tulisan Taufiqurrahman dan “Ketika Cinta Bertasbih” tulisan Habiburrahman.

Ternyata buku pertama yang saya baca, “Syahadat Cinta” tidak mengecewakan. Ia mengenai pencarian diri (soul searching), memenuhi naluri berakidah, diselitkan dengan mencari pengertian cinta. Bahasanya mudah dan kemas, plotnya menarik. Saya membacanya bukan sekadar kerana ingin mengetahui akhir cerita tersebut tetapi sememang saya ingin menelusuri setiap ayat dan ceritanya yang sangat hidup dan bermakna itu. Penulis berjaya mengungkapkan persoalan hidup yang paling penting daripada perjalanan hidup Iqbal, watak utamanya. Beberapa kali air mata menitis membacanya.
It’s really touching, heartrending and fantastic story. I must look for the next two of Taufiqurrahman’s trilogy; “Musafir Cinta” and “Makrifat Cinta”.



Menulis untuk ekspresi, Menulis untuk eksplorasi, Menulis untuk bantu diri, Menulis untuk khidmat insani, Menulis untuk berkongsi, Menulis untuk menikmati, Menulis untuk menghargai, Menulis untuk rehat diri, Menulis untuk terapi.
"The act of writing is the act of discovering what you believe."
