Setiap insan mempunyai impian masing-masing sama ada kecil atau besar, dekat ataupun jauh. Memiliki impian sama pentingnya dengan memiliki kebijaksanaan sepertimana kata-kata Albert Einstein yang bermaksud memiliki impian lebih penting daripada hanya memiliki pengetahuan semata. Sememangnya ilmu penting namun pasti ada sebab mengapa beliau berkata demikian.
Terdapat empat resepi bagaimana sesuatu impian boleh diterjemahkan menjadi kenyataan:
- Fikirkannya
- Katakannya
- Rasainya
- Lakukannya
Kelihatan amat mudah namun anda boleh mencubanya untuk menguji mana satukah yang mudah dan mana satu yang sukar untuk dilaksanakan. Jika sesuatu impian masih di peringkat difikirkan, ia boleh juga disamakan dengan angan-angan. Contohnya seseorang berfikir untuk menjadi kaya tetapi tiada apa-apa tindakan dan usaha yang dilakukannya untuk menjadikannya seorang yang kaya. Maka ia boleh dikategorikan sebagai berangan-angan. Walau bagaimanapun jika ia cuba meluahkan hasratnya untuk menambah pendapatan, maka sekurang-kurangnya ia telah berkongsi dengan seseorang atau mungkin juga ia meluahkannya di dalam doa kepada Tuhan. Yang demikian itu sudah dianggap sebagai harapan. Sekurang-kurangnya terserlah sedikit impian yang sebelumnya hanya terkurung dalam kotak pemikirannya sahaja. Pakar-pakar motivasi menamakannya sebagai ‘affirmation’ atau kata-kata yang meneguhkan azam.
Seterusnya seorang yang mahu menjadi kaya tadi cuba merasai bagaimana agaknya menjadi orang yang kaya. Terdapat pelbagai cara untuk memperolehi ‘feel’ atau getaran perasaan tersebut. Ada yang masuk ke rumah mewah kawan dan cuba merasai betapa nikmatnya berada di situ. Ada pula yang bergambar di sisi sebuah kereta besar, mewah dan terkini sambil tersenyum ceria, seolah-olah itu kereta kepunyaannya. Berada di dalam kereta tersebut sambil memegang stereng kereta seolah-olah sedang memandunya juga boleh menimbulkan ‘feel’ untuk memiliki kereta tersebut. Yang demikian itu merupakan sebahagian daripada gambaran secara spesifik apa yang seseorang mahukan dalam konteks menjadi kaya dan berjaya iaitu cuba menimbulkan perasaan terhadap sesuatu yang ingin dimilikinya.
Walau bagaimanapun, resepi terakhir iaitu melakukannya atau ‘mengambil tindakan’ merupakan suatu yang lebih mencabar. Ia juga dikenali sebagai ‘kuasa tindakan’. Ramai orang mengimpikan sesuatu, memperkatakannya dan cuba merasainya namun tidak ramai yang mampu bergerak atau bertindak menuju ke arah mencapai impiannya. Begitupun, sebenarnya bukan mudah untuk bergerak dan bertindak kerana ia bukan sekadar menggerakkan anggota begitu sahaja namun ada langkah-langkah tertentu untuk memastikan tindakan itu betul, tepat dan kena pada masanya. Ini semua untuk menjamin usahanya berhasil dan tidak sia-sia seterusnya impian dapat dicapai akhirnya. Antara kebijaksanaan dalam bertindak ialah dapatkan ilmu atau maklumat dalam bidang yang ingin diceburi, belajar dari orang yang tahu, susun perancangan, minimakan modal, sistematikkan operasi dan bertindak sekarang juga.
Kesimpulannya, apa yang kita fikirkan, luahkan, resapkan dalam jiwa dan apa yang kita lakukan akan menghasilkan suatu natijah untuk diri kita sendiri. Namun tindakan kita yang akan memutuskan apakah hasil yang kita perolehi sama ada sejajar dengan impian ataupun tidak.
Apabila berazam hendaklah bertawakkal.
Posted by Ayda 



