Nak buat apa lepas bersara?

December 17, 2010

Tiba-tiba saya suka melihat aktiviti orang yang sudah bersara sama ada bersara pilihan atau bersara wajib. Seronok juga melihat orang-orang yang sudah berusia mengisi masa mereka. Ternyata bagi mereka yang bersara, ia bukanlah titik penyudah kepada kehidupan.  Tetapi mereka masih memiliki ‘passion to live‘. Bahkan kekadang masa itu lebih bermakna dan memberi kebebasan untuk mereka menyusun langkah dan waktu yang diingini.

Di beberapa tempat, saya melihat sepasang suami isteri begitu seronok mengisi usia selepas persaraannya dengan menjual jangung kukus pada setiap petang dengan menaiki van/lori kecilnya sambil membunyikan nasyid-nasyid lama (nasyid 70 @ 80-an). Kelihatan pasangan bersara itu begitu santai berniaga. Di satu tempat lain pula seorang pesara lelaki menjalankan perniagaan runcit dan keperluan dapur dengan van/lori kecilnya pada setiap pagi di taman-taman perumahan. Seorang pesara lain pula menghabiskan masa emasnya dengan menulis cerita sejarah. Nampaknya persaraan memberi ruang yang sangat lapang dan bebas untuknya menulis sambil setiap tahun mengutip royalti dari buku-bukunya yang sudah banyak diterbitkan. Seorang lain pula bukan sekadar bersara dengan pendapatan yang sudah mantap namun setelah persaraannya beliau menjejakkan kaki ke serata tempat sebagai coach.

Di sebuah pasar pula saya kerap membeli sayur dari seorang makcik yang usianya hampir 80 tahun tetapi masih tetap gigih dengan jualannya setiap hari dan masih cekap mengira tanpa kalkulator. Selalu juga saya bersembang dengannya. Seronok mengutip tip-tip hidup sihat daripadanya. Beliau sedari muda sampai kini masih setia dengan kerjayanya sebagai penjual sayur.  Tiada istilah bersara baginya selagi masih sihat.  Memang saya kagum dengannya. Saya juga suka melihat air muka seorang makcik yang begitu bersih. Rupanya makcik tersebut telah memulakan kerjaya barunya  dengan mengajar mengaji golongan kanak-kanak dan dewasa setelah usia persaraannya. Kini beliau berusia 70-an, tapi masih sihat dan kelihatan muda sahaja.

Ketika usia muda memanglah waktu yang masih rancak untuk berusaha. Tapi kalau sudah usia lanjut masih konsisten dengan usahanya, memang mengkagumkan. Nabipun pernah menyeru agar berusaha seperti mana hidup ini akan berlangsung selamanya dan beribadatlah pula seolah-olah dunia ini akan berakhir esoknya.

Indahnya hidup.


Jangan Percaya Khayalan Cinta

July 28, 2010

Pagi tadi saya terbaca di suratkhabar kisah seorang wanita muda berusia 28 tahun sedang disiasat kerana anak bongsunya yang berusia lapan bulan disyaki didera oleh taman lelakinya dan teman lelaki tersebut juga sudah ditahan polis.

Kasihannya wanita tersebut telah bercerai dengan suaminya dan kini membawa diri bersama empat orang anaknya mengikut teman lelaki ke Melaka. Memang benar wanita itu sudah pastinya mencari perlindungan, tempat mengadu dan tempat berlindung setelah dahan tempatnya berpaut patah. Malangnya dahan baru tempatnya berpaut  juga sama rapuhnya dan mungkin lebih rapu lagi.

Sebenarnya sudah banyak kes seperti ini berlaku; anak didera atau dibunuh teman lelaki, wanita berpaut kasih pada dahan yang rapuh dan seumpamanya.  Terfikir juga, apa agaknya yang ada dalam hati dan fikiran seseorang wanita sebegitu.  Tidakkah ia serik dengan perceraiannya? Tidakkah tercetus dalam hatinya untuk membela nasib anak-anaknya? Mungkinkah ia mencari tempat berlindung atau mencari  teman untuk berkongsi masalah atau masih mencari cinta yang sejati sehingga terpaksa menyerahkan nasib anak-anak di tangan penganiaya; penganiaya cinta dan pendera kanak-kanak?

Zaman dahulu ada juga wanita ditinggalkan suami tetapi mereka bertekad untuk membesarkan anak-anak dengan memberi pelajaran yang terbaik atau wanita-wanita itu akhirnya menjadi usahawan-usahawan yang berjaya.  Lihat saja Rozita Ibrahim, pengasas Sendayu Tinggi atau pengasas Novelle Visage (saya terlupa namanya) atau seniwativeteran,  Sarimah dan ramai lagi yang tidak dapat disebutkan kerana mereka low profile.  Mereka tidak mudah percayakan janji-janji atau kata-kata manis.  Mereka tidak mudah mengikut lelaki apatahlagi yang tidak diketahui asal usulnya.  Apakah di hati mereka tiada cinta? Saya percaya setiap manusia mendambakan cinta sejati namun barangkali jati diri mereka untuk mengembalikan atau mempertahankan maruah diri dan keluarga  mengatasi segala ilusi dan harapan cinta.

Bahkan tidak salah mendambakan cinta kerana ia menjadi keperluan hidup manusia. Namun manusia selalu lupa untuk mendambakan cinta Tuhannya. Dia selalu menyerahkan cinta pada manusia, lalu manusia menghancurkannya. Hakikatnya cinta itu milik Tuhan yang satu. Kembalikanlah pada Dia, berserahlah pada Dia, percaya dan yakinlah pada Dia, nescaya Dia akan mencukupkan keperluan hambaNya. Kembalikan solat dan bersujud padaNya. Bukankah dia yang menciptakan manusia untuk manusia mensyukuri nikmatNya? Sememangnya manusia selalu diuji dengan masalah tetapi bukankah Tuhan memberi manusia akal untuk menimbang yang baik dan buruk dalam membuat pilihan?

Saya menulis ini kerana kasihankan mereka yang terumbang ambing mencari haluan walaupun sudah berkeluarga.  Sudah-sudahlah meratapi masalah. Sudah-sudahlah mengemis cinta palsu. Buatlah sesuatu yang boleh membela nasib diri dan anak-anak. Sesungguhnya bukan lelaki yang boleh membela nasib wanita tetapi Allahlah yang akan membelanya jika kita pasrah padaNya.


Dilema Wanita Beraspirasi Tinggi

April 3, 2009

secretmm1

Tahniah kepada para wanita yang berjaya mendaki puncak jaya dalam bidang masing-masing. Sudah pasti anda bertuah kerana sebahagian daripada anda mendapat sokongan yang  kuat dan padu daripada  suami yang anda kasihi dan rakan-rakan di sekeliling anda. Sebahagiannya pula mencapai impian di atas kegagahan jiwa dan kegigihan usaha  mereka.

Namun ramai juga wanita yang sukar memperolehi sokongan suami untuk menapak lebih jauh ke hadapan seperti berniaga, naik pangkat, melanjutkan pelajaran dan lain-lain. Kekadang persekitaran juga tidak menyokong. Apapun anda  mempunyai sebab mengapa ingin menapak maju lagi dan suami anda juga ada alasan mengapa tidak menyokong anda yang semuanya anda lebih tahu sebab musababnya.

Jika sememangnya anda jujur ingin meningkat lebih maju, ingin mencapai impian anda yang tinggi menggunung tetapi banyak halangan, cuba baca buku Secrets of the Millionaire Mind tulisan T. Harv Eker seperti di atas. Ada idea yang mungkin boleh dijadikan inspirasi. Saya petik di muka surat 96 – 97:

“What do I do if I’m positive and want to grow, but my husband is a downer? Do I leave him? Do I try and get him to change?”

Ayat ini disoal oleh seorang wanita kepada penulis buku ini. Penulis memberi jawapannya:

First, don’t bother trying to get negative people to change….That’s not your job. Your job is to use what you’ve learned to better yourself and your life… Be the model, be successful, be happy …. they’ll see the light ( in you) and want some of it… Your job is simply to be the best you can be.

Second,  “Everything happens for a reason and that reason is there to assist me”… Yes, it’s much more difficult to be positive and conscious around people and circumstances that are negative, but that’s your test! Just as steel is hardened in the fire, if you can remain true to your values while others around you are full of doubt and even condemnation, you’ll grow faster and stronger.

motivasi-maznahSatu lagi buku yang boleh anda jadikan panduan  ialah Motivasi Memburu Kejayaan tulisan Maznah Hamid.  Keseluruhannya buku ini memang menarik dan perlu dibaca dari kulit ke kulit kerana ianya mengadunkan antara kejayaan peribadi, rumahtangga dan kerjaya (perniagaan) dengan menggunakan segala kebijaksanaan yang ada. Ia mudah dijadikan panduan kerana penulisnya  wanita, sudut pandangannya juga adalah dari perspektif wanita (yang berjaya).  Antara sedutan dari buku tersebut:

Kita dijadikan unik dan dilengkapkan dengan segala keupayaan untuk mencipta kejayaan. Kita mempunyai kebebasan untuk memilih dan mengubah apa jua sikap negatif yang berada dalam diri kita. Apabila kita mampu mengubah sikap kita, maka dunia juga akan turut berubah.

Kedua-dua buku ini memberi panduan bukan sekadar untuk menjadi usahawan berjaya, namun lebih penting lagi bagaimana cara kita berfikir untuk menerima dan mengolah sesuatu sama ada yang negatif atau positif agar menghasilkan kesan yang positif untuk kita menapak maju dan memperbaiki kualiti hidup. Dengan kebijaksanaan, anda mampu menjadikan suami, anak-anak, keluarga, persekitaran dan apa sahaja yang anda miliki sebagai sumber sokongan untuk anda mencapai impian anda.

Selamat tinggal dilema.


Jawapan untuk Syarifah

March 20, 2009

Pada entri kali ini sukalah saya menjawab komen/soalan Cik  Syarifah yang ditulis dalam ‘Bicara Blog’ saya:

Saya ni nak sgt keluar dari kerje makan gaji yang x seberapa ni. Saya berminat sangat nak menceburkan diri dalam bidang perniagaan.. di mana ya saya boleh dapatkan buku wanita berjaya 2.. teringin nak baca dan dijadikan sumber inspirasi untuk berjaya. Sampai bila sy perlu mcm ni.. harap dapat membantu (Syarifah).

Cik  Syarifah,

Terima kasih kerana membaca blog saya.

Saya bukanlah coach perniagaan tetapi saya cuba sebaik mungkin untuk menjawab soalan ini, sekurang-kurangnya sedia berkongsi apa yang saya tahu.

Tahniah kerana Cik  Syarifah sudah memiliki pekerjaan walaupun pulangannya belum memuaskan. Namun ia jauh lebih baik jika dibandingkan dengan ramai lagi wanita di luar sana yang tidak berpeluang untuk bekerja apatahlagi menggenggam duit sendiri.

Semangat berniaga Cik  Syarifah tu memang bagus. Jika Cik  Syarifah ingin mencuba sesuatu yang baru, menukar arah atau menukar kerjaya yang sedia ada kepada perniagaan, saya cadangkan Cik  Syarifah dapatkan maklumat sebanyak mungkin (berkaitan bidang perniagaan yang ingin Cik  Syarifah ceburi), nasihat dari yang arif dan banyakkan membaca pengalaman dan hal ehwal perniagaan serta mengkaji kecenderungan dan keupayaan Cik  Syarifah sendiri. Jika Cik  Syarifah dapat bekerja dahulu dengan sesuatu syarikat yang berkaitan dengan perniagaan yang Cik  Syarifah minati, itu lebih baik, untuk memperolehi pengalaman awal.

Antara buku yang saya cadangkan Cik  Syarifah baca ialah:

  1. Motivasi Memburu Kejayaan (Maznah Hamid)
  2. Menjejaki Jutawan Senyap (Dr. Rusly Abdullah)
  3. 50 Kisah Usahawan Wanita Malaysia (Norlela Zubir)
  4. Idea-Idea Bisnes untuk Usahawan (Ashadi Zain)
  5. Learn From Successful Entrepreneurs, Part 1 & 2 (Vanakkam Malaysia)
  6. Secrets of the Millionaire Mind (T. Harv Eker)
  7. How To Get From Where You Are To Where You Want To Be; 25 Success Principles (Jack Canfield)
  8. Rich Dad Poor Dad (Robert T. Kiyosaki)

Kesemua buku tersebut boleh dibeli di kedai-kedai buku seperti Popular, MPH, Kinokuya dan lain-lain.

Antara sifu dan laman web perniagaan yang mungkin boleh membantu:

  1. http://www.irfankhairi.com/blog (perniagaan internet)
  2. http://www.saifulsham.com (perniagaan internet & idea-idea bisnes)

Antara konsultan dan coach perniagaan kecil/sederhana yang boleh dirujuk:

  1. Norlela Zubir   http://bisneskeluarga.blogspot.com/

Secara peribadi, kerana didorong minat dan mahu mencuba, saya sendiri menceburi bidang perniagaan di samping masih bekerja makan gaji. Oleh kerana saya tidak memiliki latar belakang berniaga, maka saya belajar dari bawah, banyakkan membaca buku pengalaman, perniagaan dan motivasi perniagaan, mendapatkan khidmat nasihat dari beberapa coach dan konsultan perniagaan dan belajar selok belok pengurusan akaun dari yang arif juga.

Kesimpulannya, berniaga bukanlah mudah tetapi ianya bukanlah mustahil. Jika Cik  Syarifah belum berpuashati dengan pendapatan sekarang, ia kerana Cik  Syarifah hanya menerima 1/10 rezeki manakala 9/10 daripadanya ada dalam dunia perniagaan (yang berjaya dan diberkati).

Saya harap jawapan ini sedikit sebanyak membantu Cik  Syarifah.  Selamat maju jaya.


Buku Usahawan Wanita Penuh Inspirasi

January 25, 2009

dscn22371
Buku 50 Kisah Usahawan Wanita Malaysia ini mengandungi kisah-kisah usahawan wanita Malaysia yang berjaya mengharungi  liku-liku dunia perniagaan masing-masing. Selain memaparkan kisah, buku ini juga mengandungi tip kejayaan bagi hampir setiap tokoh yang ditulis.

Antara tokoh yang dimuatkan dalam buku ini ialah :

1. Datuk Maznah Hamid (Securiforce)

2. Datuk Khatijah Ahmad (KAF Group)

3. Puan Sri Datin Mazmin Nordin (Halim Mazmin Berhad – firma kapal)

4. Dato’ Dr. Zahrah Kadir (B&Z Plastic Industry Sdn. Bhd)

5. Datin Sharifah Anisah (Nona Roguy)

6. Dato’ Dr. Jannie Tay (The Hour Glass Limited – memasarkan jam tangan buatan Swiss)

7. Dato’ Farah Khan (Melium Group)

8. Datin Paduka Siti Sa’sdiah Sheikh Bakir (Kumpulan Perubatan Johor (KPJ) Healthcare Berhad)

9. Dato’ Hazimah Zainudin (Hyrax Oil Sdn. Bhd)

10. Dr. Norsaidatul Akmar Mazelan (Think Plus Consulting Sdn. Bhd)

11. Datin Dr. Clara Lee ( Clara International Beauty Group Sdn. Bhd)

12. Datin Dr. Rehana Kassim (RehanStat Sdn. Bhd – perkhidmatan penyelidikan pemasaran)

13. Datuk Norida Hamzah (Aerotree Defence & Services Sdn. Bhd – pertahanan dan penerbangan).

14. Nafisah Radin (NR Architect dan NR Interior Design).

15. Faiza Bawumi Sayed Ahmad (Syarikat Faiza Sdn. Bhd – beras)

16. Helen Read (Ms Read Sdn. Bhd – rangkaian butik pakaian untuk wanita bertubuh besar)

17. Dr. Wang Kim Ha ( Smart Reader Worldwide Sdn. Bhd)

18. Neeta Gosalia (Neetha Herbals Sdn. Bhd)

19. Noraini Soltan Talib (Sipro Plastic Industries Sdn. Bhd)

20. Saliza Abdullah (Berani Guard Sdn. Bhd)

21. Shahreen Kamaluddin (Personal Empowerment Training & Consulting Sdn. Bhd)

22. Tengku Rozaidar Tengku Zainol Abidin (Nineteen O One Sdn. Bhd. – makanan berasaskan hot dog)

23. Margaret Chin (Roots Consulting Sdn. Bhd. – sistem balanced scorecard)

24. Caroline Russell (Boh Plantation Sdn. Bhd)

25. Rozita Ibrahim (Sendayu Tinggi)

Sekadar menyebut 25 daripada 50 orang ikon yang ditulis dalam buku tersebut. Buku ini diterbitkan oleh PTS Profesional Publishing Sdn. Bhd. dan ditulis oleh Norlela Zubir, seorang ahli perniagaan, mentor, konsultan dan coach perniagaan.

Nota:

Kalau nak berjumpa dengan semua tokoh tersebut dan mengutip pengalaman mereka tentu tidak berkesempatan. Namun dengan adanya buku ini, bolehlah kita memetik  inspirasi dan motivasi untuk menguatkan semangat dalam menuju  matlamat yang diimpikan tidak kira apa jua bidang sekalipun.


Anugerah Wanita Inspirasi Wanita

December 24, 2008
Freida Mohd. Pilus

Freida Mohd. Pilus

Membaca dan mengetahui kisah wanita berjaya sememangnya menjadi kegemaran saya. Saya tumpang bangga dan seronok melihat kejayaan wanita dalam apa jua bidang. Di sini saya paparkan beberapa usahawan wanita yang berjaya dalam perniagaan masing-masing serta meraih anugerah yang setimpal dengan penat lelah mereka.

Baru-baru ini Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (Smidec) dan Kementerian Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat serta Persekutuan Persatuan Wanita Malaysia telah mengadakan Anugerah Usahawan Wanita Kebangsaan 2008 (NMEA 2008) bertempat di Putrajaya.

Anugerah tersebut telah dimenangi oleh seorang usahawan berjiwa pendidik iaitu Datin Freida Mohd Pilus, pengasas dan Pengerusi Cempaka Schools Sdn Bhd. Ibu kepada lima anak lelaki ini telah menubuhkan sekolah tersebut 25 tahun lalu. Datin Freida kini mengendalikan lima buah sekolah termasuk sekolah antarabangsa berasrama penuh untuk pelajar perempuan di @enstek, berhampiran dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Dengan kemenangan tersebut beliau telah menerima hadiah bernilai lebih RM100,000 termasuk sebuah kereta pacuan empat roda jenis Nautica tajaan Perodua.

Tempat kedua dimenangi oleh Datuk Azlina Che Abdullah, seorang pengasas produk kecantikan, De Classic Life (M) Sdn Bhd manakala tempat ketiga pula disandang oleh Julia Chong Chooi Fong yang mengasas dan menerajui syarikat The Truly Loving Company Sdn Bhd.

Tidak ketinggalan juga ialah penerima Anugerah Usahawan Baru yang dimenangi Pengarah Urusan, Clear Insights Technology Sdn Bhd iaitu Siti Mariam Abdullah, Anugerah Usahawan Platinum dimenangi oleh Pengarah Urusan, JWR Technology (M) Sdn Bhd iaitu Johora Bee Shaik Nattershah dan Anugerah Usahawan Luar Biasa telah dianugerahkan kepada siapa lagi jika bukan ‘iron lady’ Malaysia iaitu Pengerusi Eksekutif, Securiforce Sdn Bhd, Datuk Maznah Abdul Hamid.

Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah telah berkenan menyampaikan kesemua anugerah kebanggaan usahawan wanita itu.

Sesungguhnya bukan mudah untuk menjadi wanita yang berjaya mengimbangi antara keperluan diri, keluarga dan kerjaya atau perniagaan. Justeru itulah kejayaan mereka boleh menjadi inspirasi dan motivasi kepada wanita lain yang mempunyai aspirasi tinggi untuk mencapai kecemerlangan dalam semua aspek kehidupannya. Syabas wanita!

Untuk membaca berita penuh, sila klik di sini.


In The Womb

May 11, 2008

Pagi tadi saya sempat terhenti sejenak di hadapan televisyen menonton satu slot yang bagi saya amat menarik iaitu In the Womb yang disiarkan dari Hallmark channel.  Ia satu dokumentari yang mengisahkan bagaimana bayi-bayi kembar hidup di dalam rahim ibu sehinggalah detik mereka dilahirkan sama ada secara normal ataupun caesarean. Bayi-bayi tersebut bukan sekadar kembar dua, malahan ada yang kembar tiga dan empat.  Sungguh menakjubkan, sungguh menyedarkan betapa besarnya kekuasaan Tuhan. 

Ketika Myanmar dilanda taufan Nargis, di saat trauma tsunami masih menghantui memori, waktu iklim politik Malaysia masih dilengkari rona bersimpang siur dan pelbagai lagi isu diri, keluarga, masyarakat, negara mahupun antarabangsa, maka sukalah saya menasihati  wanita yang sedang menjalani saat kehamilan agar sentiasa bertenang dan fokus hanya kepada perkara-perkara positif sahaja agar anak yang dikandung mendapat kesan yang baik, positif dan sangat membina. Mood seperti gembira, ceria, tenang dan bahagia perlu dikekalkan atau ditambah peratusnya agar jiwa anak yang dikandung menjadi sejuk, aman, tenteram, damai dan tenang.  Anak yang baik perkembangannya kurang ragamnya, manakala anak yang sering dilingkungi suasana yang negatif perlukan ibu bapa yang lebih sabar kerana mungkin mereka ada ragam yang tersendiri.

Pendek kata, biar apapun yang berlaku di sekeliling kita; ribut, taufan atau apa sahaja, maka sambutlah semuanya dengan sangat tenang, bersyukur dan sentiasa fikirkan yang positif. Ini akan melatih anak yang dikandung agar menjadi seorang yang kuat keyakinan diri, kuat daya tahan, sering berfikiran positif dan sentiasa mencari peluang biarpun dalam kesukaran keadaan.

Begitulah rancangan TV In The Womb mengingatkan saya dan anda semua terhadap keajaiban, kekuasaan Tuhan dan tanggungjawab kita sebagai ibu dan manusia di alam ini.


Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 4,656 other followers