Nota Kehidupan

University of Life

Siapa lemah siapa kuat

Antara tanda orang yang lemah ialah suka menceritakan kelemahan orang lain. Antara tanda orang yang kuat ialah mampu melihat kekuatan orang lain walaupun pada orang yang lemah apatahlagi pada orang yang kuat.

Sudah menjadi tabiat manusia suka mencari pengaruh dan berlawan atau berlumba antara satu sama lain.  Sikap ini sememangnya bagus dan memberi manfaat dalam memupuk daya saing. Manakala daya saing pula akan mencetuskan pelbagai kreativiti seterusnya meningkatkan kualiti dan produktiviti.

Walau bagaimanapun terdapat segelintir sikap yang berlumba secara kosong. Tiada sebarang kekuatan yang ingin ditonjolkan. Bahkan tiada sebarang produktiviti yang ingin dihasilkan. Maka tiada sebarang modal yang dikeluarkan melainkan melihat kelemahan pihak lawan dan menjadikan kelemahan orang lain sebagai modal penting untuknya memenangi pengaruh dan persaingan. Lumrah dunia, apabila sesuatu berita negatif disebarkan, ianya cepat merebak dan mempengaruhi minda tanpa disedari melainkan bagi mereka yang sentiasa berfikir dan menapis berita tersebut menggunakan “filter” kewajaran, kaji selidik  dan apatahlagi keimanan. Sudah menjadi resam, berita negatif umpama magnet yang menarik jiwa kosong, fikiran yang jarang digunakan (untuk berfikir dan menilai) dan kecenderungan manusia biasa. Ia tidak perlu dipromosi. Hanya perlu cetuskan sedikit fanatism maka ia sudah mampu untuk membakar sekudus hati, sebuah ikatan suci, satu masyarakat atau sebuah negara.

Tuhan yang menciptakan manusia maka Dia sudah arif benar dengan sikap manusia yang seringkali terburu-buru. Lalu Dia mengingatkan agar menyelidiki terlebih dahulu setiap cerita dan berita yang diperolehi sebelum mempercayainya  terutamanya berita yang disampaikan oleh orang fasik. Yang paling baik, jika ada berita negatif dan tidak pasti kebenarannya, KIV sahaja. Jadikan ia pengajaran atau teladan buat diri sendiri.

Jikapun benar, bukankah menyimpan aib saudara lebih mulia? Melainkan ia mendatangkan mudarat yang lebih besar dalam masyarakat, maka tindakan perlu diambil. Justeru ia lebih bersifat mengekalkan kesejahteraan  dan kemakmuran hidup dan bukan mengadu dombakan keburukan dan kelemahan orang lain untuk sekadar menjadi tontonan dan bahan ketawa yang menyakitkan hati lagi tidak membawa sebarang erti, hanya sekadar memenuhi kepuasan perasaan dengki dan iri hati.

Ini bertentangan pula dengan cerita atau berita positif.  Pelbagai teknik harus ada untuk mempromosikannya demi menarik perhatian dan minat. Bahkan sesuatu kekuatan dan kebaikan itu perlu digali dan digilap barulah ia akan muncul dan bersinar. Proses menggilapnya pula perlu berulang-ulang. Siapakah yang sanggup asyik menceritakan kekuatan dan kebaikan orang lain dengan kerelaan sendiri? Biasanya kita malas untuk ambil pusing semua itu melainkan ada kaitannya dengan diri kita. Walau bagaimanapun, jika seseorang itu mampu melihat kekuatan orang lain yang lebih lemah apatahlagi yang nyata memang kuat, sememangnya ia seorang yang kuat jiwanya kerana mampu menundukkan egonya untuk menerima kekuatan orang lain. Lagi baik ialah belajar bagaimana kekuatan seperti  itu dapat dibina untuk dirinya pula.

Sememangnya sangat berbeza cara tersebarnya sesuatu yang positif dan negatif. Segenap usaha perlu dikerahkan untuk menjadikan yang positif sebagai tarikan sebaliknya secubit sentimen perasaan sudah cukup untuk menyerakkan sesuatu yang negatif. Namun begitu, orang yang kuat sudah pasti lebih selesa dengan nilai positif walaupun terpaksa sedikit berusaha untuk memperolehinya. Begitulah sebaliknya.

One comment on “Siapa lemah siapa kuat

  1. Buat Duit
    November 30, 2010

    bila saya baca artikel ni..baru saya sedar dengan sikap manusia yang jenis ni..suka dengar perkara negatif..tak kira la citer negatif itu benar atau tidak..ish2 manusia

Leave a comment

Information

This entry was posted on November 21, 2010 by in Inspirasi dari Kehidupan.