Nota Kehidupan

University of Life

Ditenung Malaikat Maut

Tahukah anda bahawa apabila anda memandu ketika sedang penat, mengantuk atau tak stabil, sebenarnya pemanduan anda sedang dipantau oleh malaikat Izrail?

Itulah yang aku alami malam semalam ketika menjemput  anak pulang dari kursus. Hari semalam memang agak memenatkan. Seawal jam 8 hingga tengahari aku bersama pelajar-pelajarku di kelas. Kemudian terus  memulakan perjalanan ke Seremban, ditemani oleh anak perempuanku  yang baru habis kelas tambahannya. Berhenti sejenak untuk makan dan solat. Kemudian menyambung perjalanan dan tiba di Ulu Branang (tempat kursus) pada jam 3.30 petang. Jam 5.00 petang bertolak balik ke Batu Pahat melalui lebuh raya Lekas, Semenyih.  Keluar di Mantin. Nasib tak baik, jem di Seremban. Terperangkap hampir satu jam.

Akhirnya dapat masuk juga ke highway utara-selatan. Itupun dah pukul 6.30. Hasrat hati nak cepat sampai ke rumah. Semua penat, tak mahu makan, tak mahu berhenti langsung. Dalam kereta semua tertidur. Aku  seorang yang jaga, sebab memandu. Cuba nak bawa kereta kurang dari 130, tapi kadang-kadang terlajak juga. Sampai di Pagoh kira-kira 7.30 malam. Berhenti di Petronas untuk isi minyak kereta dan solat maghrib. Kepenatan, keletihan, tidak cukup rehat, kelaparan menjadikan pemandanganku berpinar-pinar. Mujurlah dapat berhenti memandu seketika. Dari Pagoh ke Batu Pahat (dah keluar highway), jalannya memang berliku-liku, gelap dan agak kecil. Lori di hadapanku. Sukar untuk memotong kerana pemandangan terbatas. Terpaksa mengekori lama.

Akhirnya aku tekan minyak,  cuba memotong. Rupanya jalan di hadapan sedikit membelok ke kiri. Aku pula terlupa menurunkan gear kepada lebih rendah. Walaupun lori itu memang perlahan tetapi keretaku juga sukar memecut. Dalam keadaan ini sebuah kereta datang dari arah hadapan. Masa terlalu suntuk untukku berfikir sama ada hendak mengundur ke belakang lori atau terus sahaja memotong. Akupun tak pasti atas dasar apa tindakanku, maka aku terus juga memotong. Aku harap kereta itu jauh lagi. Aku terus memotong. Hati kecilku sedikit menjerit, tanda perlukan sedikit ruang, sedikit pengertian, biarpun pemandu kereta di hadapanku itu sudah pasti tak tahu apa-apa tentang jeritan cemasku  pada masa itu. Masa tu aku rasa betul-betul desparate.

Bacaanku rupanya salah. Kereta itu bukan jauh lagi dengan keretaku. Ia sudah hampir, semakin hampir dan kini benar-benar dekat dengan keretaku. Jarak kami cuma seinci. Kereta kami 90% mungkin bertembung. Aku hanya ada satu saat sahaja lagi untuk terus berusaha menyelamatkan keadaan. Signal kiri kunyalakan, tanda aku sedar keadaan yang kritikal itu dan bersedia masuk ke kiri, ke hadapan lori tersebut. Minta tolong, minta ampun, minta maaf sebesar gunung. Aku tahu aku bersalah, besar salahku. Tapi please …. tak terkeluar suaraku untuk merayu lagi. Dalam hati kecutku, malaikat maut, Izrail, sedang merenung dan menenungku. Dia sedang bermain dam. Buah-buah damnya adalah keretaku, kereta di hadapanku dan lori besar itu. Aku benar-benar pasrah, hampir tak mampu buat apa-apa lagi sebab malaikat maut sedang memegang salah satu daripada kereta kami sebagai buah damnya.

Agak-agak lepas, terus aku membelok ke kiri, mengambil tempat di hadapan lori itu. Waktu itu aku sedar bahawa kereta tadi bergerak sangat perlahan ke arahku bahkan mungkin ia berhenti kecemasan di bahu jalan sebelah kananku. Ketika sedang memintas lori itu aku sedar kereta itu tidak bergerak di kananku. Dia berhenti. Bukan berhenti mengalah tapi berhenti memberiku laluan. Pemandu kereta itu benar-benar menguasai keadaan. Tindakannya betul-betul membantu menyelamatkan kami daripada tragedi. Tuhanlah yang menguasai semua ini. Tuhanlah yang menggerakkan hati pemandu itu untuk bertolak ansur denganku. Tuhanlah yang menggerakkan tangannya untuk menekan brek dan berhenti seketika biarpun memang betul itu jalan dia dan dia lebih berhak. Jika dia terus berjalanpun itu hak dia. Akulah yang bersalah.

Keretaku terus meluncur tetapi tidak laju walaupun sudah berjaya memintas lori besar di malam yang gelap dan pekat itu, walaupun telah berjaya melepasi saat yang amat mencemaskan itu. Kakiku tiba-tiba lemah, tak mempu menekan minyak sederas-derasnya lagi. Kelegaan, kekecutan, keinsafan, kesyukuran dan rasa terima kasihku melenyapkan semua niat untuk cepat sampai ke rumah. Aku sedar saat yang sangat kritikal yang baru berlalu itu berpunca dari tindakanku, mungkin juga keadaan diriku. Aku bersyukur kepada Tuhan yang telah menyelamatkan kami daripada dimamah tragedi. Aku meminta anak-anakku juga sujud syukur kerananya. Aku insaf betapa besarnya, agungnya, berkuasanya, sayangnya, kasihnya,  Allah, Tuhan yang Esa kepada hambanya. Subhana Allah, maha Suci Allah… Engkau tidak jadikan ini sia-sia, peliharalah kami dari api neraka.

Aku seperti merasakan malaikat maut  sedang tersenyum melihatku yang begitu takut dan cemas. Aku juga berterima kasih kepada malaikat Izrail yang memberhentikan kereta di hadapanku dan menarik keretaku ke hadapan lori itu dengan segera (dengan izin Tuhan). Jika tidak, tak tahulah aku apa yang terjadi pada kami bertiga; aku dan dua anakku.

Jika dapatlah aku bertemu dengan pemandu kereta pada malam itu, ingin aku mohon maaf banyak-banyak kerana mendatangkan kesulitan dan terima kasih tidak terhingga kerana sanggup bertolak ansur dan bertimbang rasa denganku. Mungkin dalam hatinya timbul juga rasa marah dan geram terhadapku. Aku terima. Memang patutpun aku kena marah. Aku tak sepatutnya memotong kenderaan dalam keadaan yang  tak pasti dan tak yakin. Entah malam itu kepalaku memang blank. Mungkin kerana terlalu penat, tak cukup rehat dan letih serta mengantuk.

Pengajaran yang teramat sangat buat diriku sendiri dan sesiapa yang ingin berkongsi…. jangan memandu dalam keadaan tak stabil atau anda sendiri menjemput malaikat maut memantau anda. Jangan memotong kenderaan dalam keadaan tak pasti dan tak yakin, ia boleh mengundang sesuatu yang tidak diingini. Ambil masa untuk berehat/ tidur sejenak terutama untuk long distance. Bagiku kejadian malam itu memang miracle. Miracle yang hanya Allah yang Tahu bagaimana kami boleh terselamat sedangkan logiknya tidak begitu…. Hanya Allah yang Tahu.

7 comments on “Ditenung Malaikat Maut

  1. hasan
    June 8, 2009

    Assalamualaikum wrt. wbt.

    Masjid Ar-Raudhah menganjurkan SEMINAR TAFSIR ‘PEMURNIAN AL-QURAN DARIPADA PENYALAH TAFSIRAN’

    Tarikh: 19 Julai 2009 (Ahad)
    Masa: 9 pagi – 3 petang
    Tempat: Dewan Serbaguna Masjid Ar-Raudhah

    Daftar Segera !!! Tempat Terhad

    100 peserta pertama akan mendapat buku “ NABI KU ” Percuma !!!

    LEMBAGA PENTADBIR MASJID AR- RAUDHAH
    30 Bukit Batok East Ave 2 Singapore 659919
    Tel : 02-6899 5840 / Fax : 02-6564 1924

    Sampai-sampaikan!!

  2. as
    June 13, 2009

    Alhamdulillah… semuanya selamat. saya pun mengalami situasi hampir serupa dua tahun lalu seminggu sebelum ke Mekah, seorang rakan memberitahu ketika itu.. `Allah mahu membersihkanmu sebelum menjadi tetamunya di tanah suci..’ Untung ada rakan2 yg selalu beri peringatan, semoga kita tergolong dlm kumpulan hambaNya yg dpt peringatan.

  3. Wilmi
    June 19, 2009

    Alhamdulillah.
    Selamat jua. Saya pernah juga memang serik selepas. Tak mengapa ia satu pengalaman menarik untuk diri sendiri. Kita terpilih untuk merasa bagaimana rasanya dekat dengan maut. Saya doakan Puan dan keluarga selamat dunia dan akhirat.Saya percaya Puan juga akan selamat melahirkan sebuah buku yang menarik kelak.InsyaAllah…

  4. D. Ayu
    June 21, 2009

    Hasan, As, Wilmi, terima kasih singgah dan mencoret di sini. Terima kasih jua doa2 kalian. Hai Wilmi,layak ke ia jadi buku cerita ni? Hehe.

  5. Saifuddin
    June 23, 2009

    AsSalammualaikum
    Alhamdulillah Ayu dalam lindungan Allah…
    membaca penulisan yang cukup baik …ayat ayat disusun cukup baik…anda unsur cemas…

    Saya pernah mengalami hal seperti tersebut…
    memang cemas…

    Ingat Allah…masa tersebut…memang…
    La quwwata illa billah…ayat 39 Surah Al Kahfi

    Ayu memang mahir bawa kereta…

    suatu masa di jalan gambang ke kuatan iku jalan lama (bukan highway …

    masa tersebut highway belum ada…

    Saya dari KL nak kelek menyambut aidil fitri di Peringat Kota Bharu…

    adik lelaki saya berehat disebelah…

    sebab lorry maka saya nak over take kenderaan dalam kepekatan malan sebab jalan gambang ke kuatan tiada lampu jalan…

    saya penat… fikiran tidak berapa buleh memikirkan adakah saya buleh over take kenderaan didepan…

    Sedang saya over take kenderaan di hadapan…
    tiba tiba lorry datang dari hadapan…
    saya …
    adik saya bertakbir…Allahu Akbar…
    Saya terus ke tepi sebalah kanan jalan… Alhamdulillah allah masih panjangkan usia kami…
    Saya terfikir asbab doa mak di kampung yang mendoakan keselamatan kami semasa travel nak kelek ke Peringat…

    badan penat…
    punca cuai di jalan raya…

    nowaday…saya selalau travel…
    hari Isnin turun ke Temerloh
    hari jumaat naik ke Kuatan Pahe…
    badan penat…
    jarak rumah di Kuatan dgn Ofis adalah 127km

    ore rumah belum nak pindah ke Temerloh…
    katanya cikgu buleh tukar jika ada cikgu jawi qu’ran arab fardhu ain di Temerloh nak ngajar di Kuatan Pahe…
    baru mudah untuk pertukaran…

    Sahabat dalam ini buleh bantu … pertukaran dari Kuatan ke Temerloh…

    Alhamdulillah Ayu bersama famili dilindungi Allah…

  6. D. Ayu
    June 23, 2009

    Saifudin,
    Alhamdulillah demo selamak. Doa ibu memang makbul. Moga ore ghumah cepak dapak tukar. Keselamate peting.

  7. nunwowro
    July 12, 2009

    jika diamati dgn mata hati,setiap takdirnya adalah ‘miracle’..smg makin dicelikkan mata hati kita.
    ye, “bila betul2 yakin baru potong” – my dad

    alhamdulillah terima kasih Allah yg mmberikan kemurahanNya utk berkongsi.

Leave a comment

Information

This entry was posted on June 4, 2009 by in Inspirasi dari Kehidupan.